Pengeluaran buah tandan segar Kim Loong diunjur meningkat 5% pada FY25, kata Apex Security | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar Kim Loong diunjur meningkat 5% pada FY25, kata Apex Security

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pengeluaran buah tandan segar (BTS) Kim Loong Resources Bhd bagi FY25 diunjur meningkat sebanyak 5% selepas mengambil kira profil umur yang lebih baik bagi kawasan produktif kelapa sawit muda dan program penanaman semula yang berterusan.

 

Apex Security menjangkakan, sumbangan keuntungan lebih tinggi daripada segmen RE disebabkan pentauliahan loji biogas di Telupid dan Keningau, Sabah.

 

Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan purata harga minyak sawit mentah (MSM) berlegar sekitar RM3,800 bagi setiap tan pada separuh kedua tahun ini. 

 

"Ia akan menjadi sedikit penurunan berbanding purata RM3,960 bagi setiap tan pada separuh pertama tahun ini, diheret oleh pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi kerana kami meramalkan inventori akan terus berkembang pada separuh kedua 2024 apabila musim puncak bermula," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada suku pertama berakhir 30 April 2024 (1QFY25), untung bersih kumpulan itu meningkat 57% kepada RM49.5 juta dengan pendapatan sesaham 5.08 sen manakala hasil meningkat 19% kepada RM388.4 juta.  

 

Peningkatan prestasi itu disebabkan pengeluaran BTS dan MSM yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 6% dan 13%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih teras melebihi jangkaan dan konsensus masing-masing sebanyak 10% dan 8%. 

 

Katanya, varians itu boleh dikaitkan dengan margin operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan yang membawa kepada keuntungan yang lebih baik.

 

"Sumbangan pendapatan segmen perladangan meningkat 8% hasil daripada pemulihan dalam pengeluaran serta purata harga jualan BTS. Selepas itu, keuntungan operasi daripada pengilangan kelapa sawit melonjak 80% daripada margin pemprosesan yang lebih baik," katanya.

 

Apex Security menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.05 sesaham.- DagangNews.com