KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pengeluaran getah asli meningkat 23.8% pada bulan Jun 2023 kepada 29,867 tan metrik berbanding pada 24,126 tan metrik berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada Jun 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (85.9%) berbanding sektor estet (14.1%).
Beliau berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan sebanyak 3.9% kepada 31,083 tan metrik pada Jun 2022.
"Jumlah stok getah asli pada Jun 2023 menurun 5.4% kepada 159,742 tan metrik berbanding 168,806 tan metrik pada Mei 2023.
"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.8 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.1%) dan estet getah (0.2%)," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Mohd Uzir, eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,857 tan metrik pada Jun 2023 meningkat 31.8% berbanding Mei 2023 (37,062 tan metrik).
Katanya, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 50.6% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Jun 2023 diikuti Jerman (7.8%), Amerika Syarikat (4.9%), Pakistan (3.1%) dan Iran (2.5%).
"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.9 billion pada Jun 2023, menurun 5% berbanding Mei 2023 (RM1 billion)," katanya.
Beliau berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 1.8% (Jun 2023: 497.70 sen sekilogram; Mei 2023: 488.76 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat 0.8% (Jun 2023: 481.91 sen sekilogram; Mei 2023: 478.02 sen sekilogram).
Katanya, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 0.4% hingga 1.8%. The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 2.3% (daripada AS$1.35/kg kepada AS$1.32/kg) dan Singapura/Malaysia menurun 1.5% (daripada AS$1.56/kg kepada AS$1.53/kg).
"Prestasi suku kedua 2023 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 7.6% kepada 77,453 tan metrik berbanding 83,848 tan metrik pada suku pertama 2023.
"Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku kedua 2023 pula mencatatkan peningkatan 3.8% berbanding suku kedua 2022 (74,635 tan metrik)," katanya.
Menurut laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Jun 2023, sentimen positif pasaran getah Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor termasuk peningkatan keyakinan terhadap tambahan rangsangan pemulihan ekonomi di China, pengumuman semakan oleh Bank Dunia mengenai pertumbuhan global bagi tahun 2023 serta peningkatan jualan kenderaan di China. - DagangNews.com