Pengeluaran kenderaan dijangka meningkat beransur-ansur hingga akhir Ogos - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran kenderaan dijangka meningkat beransur-ansur hingga akhir Ogos - MIDF

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Pengeluaran kenderaan di Malaysia dijangka mula meningkat bermula hari ini hingga penghujung Ogos.

 

MIDF Research berkata, perkara itu mengambil kira perkembangan vaksinasi dalam kalangan pemain industri automotif sebelum dapat beroperasi pada kadar optimum.

 

Menurut MIDF Research, hasil perbincangan pihaknya dengan pemain industri terpilih semalam memberitahu, lebih 90% tenaga kerja termasuk pekerja di kilang telah menerima vaksin melalui Pikas.

 

Peratusan yang dicatatkan itu adalah jauh lebih tinggi daripada kadar vaksinasi di peringkat negeri.

 

"Bagaimanapun, kami memahami bahwa sebahagian daripada tenaga kerja sektor ini perlu memenuhi syarat 14 hari selepas dos kedua.

 

"Susulan itu, keadaan ini menunjukkan bahawa pengeluaran kenderaan mungkin akan meningkat secara beransur-ansur bermula dari sekarang hingga akhir Ogos," jelas MIDF Research.

 

Semalam, kerajaan mengumumkan kelonggaran aktiviti ekonomi termasuk pembukaan semula sektor pembuatan seperti kilang automotif dan komponen bermula hari ini.

 

Dalam pada itu, galeri jualan dan pengedaran kenderaan turut disenaraikan dalam 11 aktiviti yang dibenarkan beroperasi.

 

Secara keseluruhannya, MIDF Research berpendapat bahawa pengumuman tersebut adalah suatu yang positif bagi sektor automotif kerana keseluruhan rantaiannya akan mula beroperasi semula minggu ini dan seterusnya.

 

MIDF Research mengekalkan penerafan 'positif' terhadap sektor automotif di samping tiga pilihan utama iaitu UMW, BAuto dan MBM. - DagangNews.com