Pengeluaran RM10,000 adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas KWSP | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran RM10,000 adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas KWSP

KUALA LUMPUR 16 Mac - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyataka bahawa pengeluaran simpanan sebanyak RM10,000 yang diumumkan hari ini adalah yang terakhir menerusi insiatif pengeluaran khas.

 

Lanjutan daripada pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas hari ini, KWSP akan memperkenalkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 untuk ahli yang masih terkesan akibat pandemik.

 

Katanya, ia adalah pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti dengan kelembapan ekonomi.

 

"Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran berkenaan.

 

"Ketika negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

 

"KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini dan mekanisme pembayaran akan dibuat oleh KWSP dengan kadar segera. - DagangNews.com