Pengembangan Volcano di Thailand baik untuk kumpulan - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pengembangan Volcano di Thailand baik untuk kumpulan - Maybank IB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Mac - Hasrat Volcano Berhad untuk mengembangkan lagi kehadirannya dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) serta automotif di Thailand selepas penyenaraian di Bursa Malaysia merupakan langkah baik buat kumpulan.

 

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) yang memetik Independent Market Research Report (IMRR) memberitahu, Thailand merupakan pangkalan pembuatan utama di Asia Tenggara bagi syarikat multinasional termasuk pemain industri E&E serta automotif.  

 

“Volcano secara aktif akan mengembangkan kehadirannya dalam industri E&E dan automotif di Thailand dalam tempoh 36 bulan akan datang selepas langkah penyenaraiannya.

 

“Prospek bagi kedua-dua sektor itu opmitistik di Thailand kerana lokasinya yang strategik, ketersediaan tenaga kerja dan dasar kerajaan yang menyokong seperti pengecualian cukai pendapatan korporat dan duti setem untuk menarik syarikat pembuatan pelbagai negara.

 

“Ini seterusnya akan membantu memacu permintaan bagi plat nama dan bahan acuan suntikan plastik, petanda baik bagi kumpulan,” jelas Maybank IB dalam nota kajiannya semalam. 

 

Volcano mula menerbitkan tawaran awam awal (IPO) pada kadar RM0.35 sesaham membabitkan 25 juta saham dengan sasaran perolehan kasar bernilai RM8.75 juta.

 

Baca : Volcano lancar prospektus untuk IPO

 

Kumpulan syarikat itu dijangka disenaraikan di Papan ACE Bursa Malaysia Securities Berhad bermula 6 April ini.

 

Baca : TP RM0.47 berdasarkan rekod prestasi Volcano - TA Securities 

 

Pada 26 Mac lalu, DagangNews.com melaporkan saham Volcano telah terlebih langgan sebanyak 176.6 kali menjelang penyenaraian syarikat itu di Papan ACE dengan nilai perolehan RM8.75 juta daripada proses IPO tersebut.

 

Baca : IPO saham Volcano terlebih langganan 176.6 kali

 

Untuk rekod, Volcano merupakan syarikat peneraju pengeluar antarabangsa bagi papan nama dan bahan suntikan acuan plastik dengan pasaran utamanya di Thailand dan Singapura.

 

Produk papan nama dan bahan suntikan acuan plastik Volcano digunakan untuk menyokong industri pembuatan terutamanya bagi sektor E&E serta automotif. - DagangNews.com