Pengenalan model baharu EV semakin berkembang, MIDF Research kekal positif dengan sektor automotif | DagangNews Skip to main content

Pengenalan model baharu EV semakin berkembang, MIDF Research kekal positif dengan sektor automotif

Proton menandatangani memorandum perjanjian dengan smart untuk memperkenalkan rangkaian Kenderaan Tenaga Baharu.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jan - Kerjasama Proton Holdings Bhd. (Proton) dengan smart Automobile Co. Ltd. (smart) dilihat akan berfungsi sebagai keluk pembelajaran buat syarikat automotif tempatan itu memandangkan segmen harga premium bukanlah pasaran semula jadi kepada Proton. 

 

Ini termasuklah dari segi pengurusan pemasaran, jualan dan selepas jualan kenderaan elektrik (EV) serta penyediaan infrastruktur yang diperlukan, menurut penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry dalam nota kajian hari ini. 

 

Setakat ini, katanya, tiada perancangan untuk melaksanakan pemasangan tempatan bagi model smart. 

 

"Kami berpendapat smart mungkin mengekalkan smart sebagai jenama premium, seperti mana kenyataan Geely dalam kerjasama dengan Mercedes sebelum ini, 'untuk mengubah jenama smart sebagai pemain utama dalam kenderaan premium bandar, elektrik dan terhubung'," jelasnya. 

 

Baca : Proton bekerjasama dengan smart Automobile perkenal NEV dalam pasaran automotif ASEAN

 

Semalam, Proton menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan smart untuk memperkenalkan rangkaian Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) keluaran smart dalam pasaran automotif ASEAN yang giat berkembang.

 

Perjanjian itu akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama melalui Proton Edar, yang akan dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan smart di Malaysia serta Thailand, dan smart Automobile (Nanning) Sales Co Ltd (anak syarikat milik penuh smart Automobile), akan memenuhi peranan sebagai gerbang masuk kenderaan smart ke rantau ini.

 

MoA itu akan membolehkan Proton Edar mewujudkan rangkaian jualan dan perkhidmatan pelbagai peringkat di Malaysia serta Thailand, selain mengadakan pusat pengalaman jenama dan beberapa lokasi jualan, menyediakan pasaran tempatan dengan perkhidmatan jualan serta selepas jualan untuk NEV smart.

 

Hafriz berkata, sejak pengecualian cukai diperkenalkan untuk EV dalam Bajet 2022, pengenalan model baharu EV semakin meningkat. 

 

Katanya, ia menandakan perkembangan positif bagi permintaan EV dengan ada sokongan infrastruktur. 

 

"Dalam ruang EV, kami berpendapat, sebahagian besar peluang tertumpu kepada pengembangan jenama dan model dalam tempoh 12 bulan akan datang memandangkan tawaran yang terhad ketika ini," jelasnya. 

 

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor automotif. 

 

Firma itu meletakkan Bermaz Auto Bhd., UMW Holdings Bhd. dan MBM Resources Bhd. sebagai pilihan utama saham dalam sektor tersebut dengan saranan 'beli' dan harga sasaran masing-masing pada RM1.98, RM4.35 dan RM3.87 sesaham. - DagangNews.com