Pengendalian tempat letak kereta pintar diunjur terus jadi penyumbang pendapatan tambahan ITMAX | DagangNews Skip to main content

Pengendalian tempat letak kereta pintar diunjur terus jadi penyumbang pendapatan tambahan ITMAX

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan pengendalian tempat letak kereta pintar akan terus menjadi penyumbang pendapatan tambahan kepada ITMAX System Bhd pada masa hadapan.

 

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada nilai tambah kumpulan itu menerusi perkhidmatan 'bandar pintar'. 

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan bagi setiap 50,000 tempat letak kereta di bawah seliaannya berpotensi menjana perolehan sebanyak RM22.7 juta setahun dengan andaian kadar penggunaan harian sekitar 40% dan di Johor sahaja terdapat sekitar 200,000 tempat letak kereta.

 

"Sama seperti dua kontrak tempat letak kereta pintar sebelum ini dengan Majlis Perbandaran Kulai dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, kumpulan itu menerusi Southmax Sdn Bhd (Southmax) menggunakan model perkongsian hasil masing-masing 70:30 antara mereka dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) untuk semua hasil tunai yang dikutip menerusi aplikasi Parkmax@Johor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: ITMAX terima kontrak 15 tahun kendalikan tempat letak kereta pintar di Majlis Daerah Tangkak

 

Terdahulu, menerusi pelantikan itu, ITMAX akan menjadi menyelia sekiar 5,113 tempat letak kereta di daerah Tangkak untuk tempoh 15 tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak tempat letak kereta pintar di MDT merupakan yang ketiga buat kumpulan itu di Johor dan mereka kini mentadbir 41,112 tempat letak kereta di seluruh negeri itu.

 

"Momentum pemberian kontrak di Johor diramal terus meningkat apabila mereka berjaya menembusi daerah pertama di luar kawasan metropolitan Johor Baharu," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.25 sesaham. - DagangNews.com