Pengerusi MAHB sekali lagi rayu kerajaan batalkan hasrat jual LTSAAS | DagangNews Skip to main content

Pengerusi MAHB sekali lagi rayu kerajaan batalkan hasrat jual LTSAAS

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sekali lagi merayu agar kerajaan membatalkan hasrat untuk menswastakan dan mengeluarkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) bagi tujuan pengambilalihan oleh pihak tertentu. 

 

"Ini merupakan kenyataan saya kali ketiga yang membantah langkah penjualan lapangan terbang ini.

 

"LTSAAS adalah aset strategik negara yang perlu dipertahankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau juga menekankan bahawa pelan Regenerasi LTSAAS yang dikemukakan oleh MAHB merupakan sebahagian daripada kerangka besar perancangan masa depan kerajaan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara iaitu Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.

 

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul perkara yang dimainkan oleh kalangan tertentu bahawa beliau tidak pernah bersama dengan MAHB dan kesatuan-kesatuan pekerja MAHB dalam usaha menyelamatkan LTSAAS dan kedudukan syarikat secara keseluruhan.

 

"Saya menghormati pendirian Kesatuan Pekerja-Pekerja MAHB Semenanjung (Kesma), Kesatuan Pekerja-Pekerja MAHB Sarawak (Kepemab) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja MAHB Sabah & Labuan (Kepmas) kerana mereka mewakili suara warga MAHB.

 

"Malah, saya masih menaruh harapan agar kerajaan mendengar pandangan rakyat dan rintihan warga Malaysia Airports agar LTSAAS tidak dijual. 

 

Dr. Zambry Abd. Kadir
Dr. Zambry Abd. Kadir

 

Pada Isnin lalu, MAHB mendedahkan bahawa kumpulan telah menyerahkan pelan strategik dan menyeluruh berjangka panjang bagi pembangunan semula LTSAAS kepada kerajaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pelan itu memerlukan pelaburan infrastruktur bernilai RM300 juta yang dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun. 

 

Susulan itu, kesatuan-kesatuan pekerja MAHB menggesa kerajaan supaya membuat deklarasi terbuka bahawa pengambilalihan lapangan terbang itu oleh WCT Holdings Berhad tidak akan berlaku.

 

Kesatuan pekerja yang terdiri daripada Kesma, Kepemab dan Kepmas menyatakan sokongan terhadap pembangunan lima tahun LTSAAS secara strategik dan menyeluruh. - DagangNews.com

 

Baca : MAHB serah pelan pembangunan Lapangan Terbang Subang kepada kerajaan


Baca : Buat deklarasi terbuka, tiada entiti swasta boleh ambil alih lapangan terbang Subang