Pengerusi WZ Satu suntik RM140 juta ambil alih syarikat persendirian | DagangNews Skip to main content

Pengerusi WZ Satu suntik RM140 juta ambil alih syarikat persendirian

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

 

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Nov – WZ Satu Berhad bercadang untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd (“CESSB”) daripada Citiglobal Sdn Bhd dengan pertimbangan pembelian indikatif sebanyak RM140 juta.

 

Cadangan pengambilalihan itu hadir bersama jaminan keuntungan bersih agregat sebanyak RM60 juta untuk tiga (3) tahun kewangan penuh berakhir 2022, 2023 dan 2024.

 

Berhubung cadangan pengambilalihan, WZ Satu telah memeterai perjanjian terikat (“BA”) dengan Citaglobal untuk meneroka dan mengadakan rundingan lanjut eksklusif membabitkan cadangan itu.

 

CESSB ialah sebuah syarikat sendirian berhad milik Bumiputra dengan pesanan kontrak kira-kira RM500 juta, dan ia terlibat terutamanya dalam perkhidmatan perundingan kejuruteraan dan perkhidmatan lain yang berkaitan.

 

Pengasas dan pengerusi eksekutif Citaglobal ialah Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. Norza, yang merupakan Akauntan Bertauliah dan Felo Akauntan Bertauliah (FCPA) Australia, ialah pengerusi eksekutif semasa dan pemegang saham utama WZ Satu dengan 23% kepentingan.

 

Bagaimanapun, beliau mungkin lebih dikenali sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika ini. Beliau juga adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan memegang jawatan Presiden Persatuan Sukan Komanwel Malaysia.

 

Dalam cadangan pengambilalihan ini, Norza akan membawa syarikat persendirian, CESSB ke dalam WZ Satu. Justeru, pegangan beliau akan meningkat daripada 23% kepada kira-kira 60% sebaik sahaja perjanjian ini dimuktamadkan.

 

Norza mula menjadi pemegang saham dalam WZ Satu pada 4 Februari 2020, apabila mengambil alih 10.95% kepentingan dalam syarikat. Sejak dari itu, beliau secara konsisten meningkatkan pegangannya dalam WZ Satu.

 

“Menerusi cadangan ini, WZ Satu akan menjadi syarikat utama saya dan saya berhasrat untuk membawa syarikat itu ke tahap yang lebih tinggi. Saya bercadang untuk mengembangkan WZ Satu menjadi peserta pasaran yang lebih serius dalam sektor pengurusan kemudahan, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur dan teknologi,” kata Norza.

 

“Sebagai permulaan, kami akan membuat transformasi ke atas WZ Satu. Ini boleh dilakukan dengan jaminan keuntungan yang ditawarkan oleh Citaglobal. Kami sudah meninjau dan mengenal pasti lebih banyak projek untuk dibida kerana kami telah bersedia,” tambah Norza.

 

WZ Satu telah mencatat kerugian sejak 2018. Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021, syarikat itu mencatatkan kerugian bersih RM2.03 juta dengan pendapatan berjumlah RM127.7 juta.

 

Sementara itu, dana berjumlah RM140 juta bagi cadangan pengambilalihan akan dibiayai melalui terbitan saham berjumlah RM80 juta dan baki RM60 juta lagi membabitkan terbitan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) berdasarkan dengan cara berikut:

 

I.          Terbitan sebanyak 421,052,632 saham biasa baharu dalam WZ Satu pada harga terbitan 19 sen sesaham WZ Satu;

II.         Terbitan sebanyak 315,789,474 RCPS baharu dalam WZ Satu pada harga terbitan 19 sen bagi setiap RCPS WZ Satu;

III.        Harga terbitan saham dan RCPS WZ Satu berjumlah 19 sen mewakili diskaun kira-kira 6.22% kepada harga purata pasaran wajaran (VWAP) lima (5) hari saham WZ Satu sehingga dan termasuk pada 16 November, 2021;

IV.        Harga terbitan juga mewakili premium kira-kira 0.42% sepanjang 30 hari VWAP saham WZ Satu bermula 18 Oktober 2021 hingga 16 November 2021 berjumlah 18.92 sen.

 

Cadangan pengambilalihan ini tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang perlu diperoleh iaitu kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa dan kelulusan Bursa Malaysia bagi tujuan terbitan serta pertimbangan sebut harga saham WZ Satu.

 

Dalam pengumuman awal yang dibuat secara berasingan pada 16 November, WZ Satu memaklumkan Bursa Malaysia bahawa ia telah menetapkan harga terbitan untuk cadangan penempatan pada 17 sen. Harga terbitan ini mewakili diskaun kira-kira 9.72% kepada VWAP lima (5) hari saham WZ Satu sehingga dan termasuk 15 November.

 

Syarikat itu bercadang untuk memeterai perjanjian langganan dengan pelabur yang akan dikenal pasti bagi cadangan penempatan dalam masa terdekat.

 

Astramina Advisory Sdn Bhd dilantik sebagai pengatur urus niaga bagi WZ Satu dan turut dilantik sebagai penasihat kewangan kepada Citaglobal bagi cadangan pengambilalihan itu. – DagangNews.com