Pengerusi ZICO Nik Norzrul Thani sertai Pertama Digital sebagai pengarah | DagangNews Skip to main content

Pengerusi ZICO Nik Norzrul Thani sertai Pertama Digital sebagai pengarah

Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani

KUALA LUMPUR 8 Sept - Pertama Digital Bhd pada hari Rabu (7 Sept) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutifnya.

 

Nik Norzrul, 62, kini pengerusi dan rakan kongsi kanan Zaid Ibrahim & Co (ZICO) dan ahli ZICO Law, rangkaian firma guaman tempatan yang memberi tumpuan kepada ASEAN, menurut pemfailan bursa yang dibuat oleh Pertama Digital.

 

Pelantikan Nik Norzrul dibuat hanya beberapa hari selepas kumpulan itu mengumumkan kemunculan bekas ketua hakim negara Tun Zaki Azmi sebagai pemegang saham utama.

 

Sebelum menyertai ZICO, Nik Norzrul merupakan pengamal undang-undang dengan firma guaman antarabangsa Baker & McKenzie, menurut Pertama Digital.

 

"Beliau juga sebelum ini bekerja dengan sebuah firma audit dan sebuah bank di Kuala Lumpur. Pada 2017, beliau dilantik oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura," kata pemfailan itu.

 

Nik Norzrul juga memegang jawatan pengarah dalam beberapa syarikat awam dan tersenarai lain, iaitu Sime Darby Plantation Bhd, T7 Global Bhd, Malaysian Rating Corp Bhd, Amanah Saham Nasional Bhd, Cagamas Holdings Bhd dan MUFG Bank (Malaysia) Bhd.

 

BACA JUGA: Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani kini pemegang saham utama Pertama Digital

 

Dalam pemfailan Bursa Malaysia pada 1 September lalu, kumpulan itu berkata ia telah melantik semula Zaki daripada pengerusi bukan eksekutif bebas kepada pengerusi bukan eksekutif bukan bebas selepas dia menjadi pemegang saham utama Pertama Digital dengan pegangan 11.538% melalui pengambilalihan sebanyak 50 juta saham menerusi syarikatnya Mypay Capital Sdn Bhd dengan harga RM25 juta.

 

Harga saham Pertama Digital turun tiga sen atau 2.14% lebih rendah pada RM1.37 pada hari Rabu, menjadikan kumpulan itu permodalan pasaran RM593.7 juta. Setakat ini, saham telah melonjak 136.21%. - DagangNews.com