KUALA LUMPUR 13 Sept - Kenanga Research meramalkan tempahan penggantian paip air lama di seluruh negara akan meningkat pada 2HFY24 dan terus melonjak menjelang FY25.
Usaha itu adalah untuk menggantikan paip usang selain paip yang mengalami kebocoran serta menyediakan bekalan air bersih kepada seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, program itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya termasuk penggantian paip bagi inisiatif pengurangan air bukan hasil (NRW) dan pembinaan atau menaik taraf loji rawatan air (termasuk penyatuan loji lama dan kecil bagi mengoptimumkan kos).
"Difahamkan operator air kini sedang mengenal pasti paip lama untuk digantikan dan mengusahakan kos untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi mendapatkan kelulusan.
"Menurut Persatuan Air Malaysia, operator air setakat ini telah mengemukakan cadangan kepada MOF untuk projek air bernilai sekitar RM4 bilion.
"Pada masa sama terdapat rancangan untuk menaikkan semula tarif air dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, harga aluminium berada dalam aliran menaik sejak awal tahun berikutan penggunaan kukuh yang mengejutkan di China pada awal tahun, manakala di luar China, permintaan dirangsang oleh projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV).
Katanya, permintaan mampan di China bergantung pada pemulihan projek infrastruktur dan hartanah yang prospeknya masih tidak menentu pada masa ini.
Sementara itu, penutupan peleburan berkuasa bahan api fosil (terutamanya arang batu) berikutan peningkatan kesedaran alam sekitar ditambah dengan sekatan barat terhadap pengeluar aluminium Rusia akan terus mengehadkan bekalan.
Katanya, situasi semasa dalam industri keluli China adalah lebih teruk daripada kemelesetan pada 2008 dan 2015 terutamanya disebabkan keadaan ekonomi yang semakin teruk kesan krisis hutang hartanah yang berterusan dan aktiviti pembuatan yang lebih lemah.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan industri keluli China akan bergabung kerana tahap inventori yang tinggi dan tekanan bekalan yang meningkat berkemungkinan memaksa kilang mengurangkan pengeluaran, menyokong kestabilan harga," katanya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' terhadap sektor bahan pembinaan dan Engtex Group Bhd serta Press Metal Aluminium Holdings Bhd sebagai pilihan utama.
Katanya, Engtex memiliki potensi besar dalam pasaran penggantian paip air doemstik dan kedudukan pasaran yang dominan bagi paip keluli lembut (MS) berdiameter besar dan besi mulur manakala Press Metal memiliki kelebihan kos strukturnya berbanding rakan antarabangsa memandangkan aksesnya kepada kuasa hidro kos rendah yang dijamin di bawah empat kontrak PPA jangka panjang yang berakhir antara 2034 dan 2040.- DagangNews.com