Samaiden, PT MSC Bina tubuhkan syarikat kerjasama teroka pasaran RE Indonesia | DagangNews Skip to main content

Samaiden, PT MSC Bina tubuhkan syarikat kerjasama teroka pasaran RE Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Sept - Samaiden Group Bhd menerusi Samaiden SG Pte Ltd memeterai perjanjian kerjasama (JVA) bersama PT MCS Bina Energi bagi penubuhan syarikat usaha sama di Indonesia bagi menerokai pasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara itu.

 

PT MCS Bina Energi merupakan syarikat dengan fokus dalam sektor Utama seperti infrastruktur asas, RE dan sumber mineral.

 

Syarikat bergerak selari dengan Bintang Timur Investama, sebuah firma pelaburan terpelbagai yang terlibat secara aktif dalam sektor infrastruktur, RE dan teknologi.

 

Kerjasama itu akan memanfaatkan kepakaran teknikal Samaiden dalam perkhidmatan EPCC dan rangkaian perniagaan PT MCS di Indonesia.

 

Syarikat JVA itu akan melaksanakan pelbagai inisiatif RE, termasuk pembangunan sistem solar PV, loji kuasa, dan projek RE bina-kendali-sendiri, selain menawarkan perkhidmatan perundingan untuk RE.

 

samaiden
Datuk Ir. Chow Pui Hee

 

"Syarikat usaha sama itu akan ditubuhkan dengan modal dibenarkan IDR 10 bilion (kira-kira RM2.8 juta).

 

"Samaiden akan memegang 70% kepentingan dalam entiti baharu itu, manakala PT MCS akan memiliki baki 30%," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Peranan Samaiden akan tertumpu kepada penyediaan khidmat nasihat teknikal, memanfaatkan pengetahuannya yang mendalam dalam sistem solar PV  dan RE, manakala PT MCS akan menumpukan pada mengenal pasti peluang perniagaan tempatan dan menavigasi landskap kawal selia di Indonesia.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Ir. Chow Pui Hee berkata, kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam strategi pengembangan kumpulan itu di seluruh Asia Tenggara.

 

Beliau berkata, Indonesia mempunyai komitmen yang kuat bagi membangunkan infrastruktur RE sejajar dengan visi Samaiden bagi memacu penggunaan tenaga bersih di seluruh rantau ini.

 

"Kami percaya bahawa kerjasama ini akan meningkatkan lagi kapasiti kami untuk menyediakan lebih banyak rumusan RE dan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan dan peralihan tenaga hijau serantau kami," katanya.- DagangNews.com