ReOrbit, Uzma jalin kerjasama laksana projek satelit komunikasi GEO | DagangNews Skip to main content

ReOrbit, Uzma jalin kerjasama laksana projek satelit komunikasi GEO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Sept - Penyedia satelit dengan perisian yang berpangkalan di Helsinki, ReOrbit memeterai perjanjian kerjasama dengan peneraju landskap tenaga dan teknologi di Malaysia, Uzma Bhd bagi melaksanakan projek satelit komunikasi Geostationary Earth Orbit (GEO).

 

Menerusi perjanjian itu, ReOrbit bersama Uzma menyasarkan untuk menyediakan satelit komunikasi GEO tercanggih lengkap dengan perisian bagi membawa ketersambungan dan liputan yang konsisten di seluruh Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Uzma, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed menekankan potensi transformatif kerjasama itu dengan berkata, satelit dan teknologi angkasa lepas sedang merevolusikan cara masyarakat berhubung, memerhati dan memahami dunia.

 

"Bersama-sama, menggunakan set kemahiran yang digabungkan, kami menyasarkan untuk membuka peluang baharu dan mencipta masa depan yang mampan dalam Ekonomi Angkasa Baharu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekuti dan Pengasas ReOrbit, Sethu Saveda Suvanam berkata, perjanjian penting bersama rakan strategik mereka, Uzma akan mengukuhkan kedudukan mereka dalam membuka ketersambungan di Malaysia.

 

"Sebagai peneraju dalam satelit komunikasi GEO yang canggih, ReOrbit berbesar hati untuk bekerjasama bersama Uzma bagi memetakan cara teknologi satelit kami, pengetahuan dalaman yang luas dan kepakaran boleh menyokong ekonomi yang berkembang pesat dan memberi manfaat kepada rakyat di Malaysia," katanya.- DagangNews.com