Tan Sri Ahmad Mohd Don, pengerusi Alliance Bank dan bekas Gabenor Bank Negara meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

Tan Sri Ahmad Mohd Don, pengerusi Alliance Bank dan bekas Gabenor Bank Negara meninggal dunia

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 17 Sept - Alliance Bank Malaysia Berhad mengumumkan pengerusinya, Tan Sri Ahmad bin Mohd Don, 77, telah meninggal dunia pada hari ini.


Allahyarham mengetuai kumpulan Alliance Bank sebagai Pengerusi sejak 1 Februari 2017, membawa bersama beliau pengalaman yang banyak dalam perbankan, kewangan dan perakaunan profesional.

 

Beliau memainkan peranan penting dalam perjalanan transformasi Alliance Bank, menekankan pada penerapan nilai teras Bank dalam semua perkara yang dilakukannya.

 

“Kami amat berdukacita dengan pemergian Tan Sri Dato’ Ahmad. Beliau adalah seorang tokoh yang sangat terkenal dan disegani dalam masyarakat dan industri perbankan dan kewangan. Beliau juga merupakan Pengerusi yang mempunyai kebijaksanaan dan pengalaman yang besar.

 

"Beliau memberi impak yang besar kepada Bank, membawa perubahan positif di tengah-tengah cabaran selama ini untuk membina kumpulan perbankan yang kukuh di Malaysia. Ahli Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan kami telah diilhamkan oleh kepimpinannya dan Alliance Bank mendapat keistimewaan untuk menerajuinya ketika kami memulakan laluan pertumbuhan yang kukuh,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam.

 

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau terkesan dengan pemergian sahabatnya bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Ahmad Mohd Don yang meninggal dunia pada awal pagi tadi.

 

Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri mendoakan kekuatan buat keluarganya atas ujian yang getir ini dan semoga rohnya diberi keampunan oleh Allah SWT serta rohnya diberikan tempat yang terbaik oleh-Nya.

 

Terdahulu, anak sulung Allahyarham iaitu Shahril Hafiz, 48, dipetik sebagai berkata ayahnya dibawa pulang ke rumah di Kampung Stulang Baru, Majidee di Johor Bahru dari Kuala Lumpur pada 8 malam tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 1.55 pagi.

 

Beliau berkata Ahmad dimasukkan ke wad unit rawatan rapi sebuah hospital swasta di ibu kota kira-kira dua minggu lepas setelah mengalami masalah komplikasi jantung.

 

Kerjaya awal

Allahyarham memulakan kerjayanya dengan Kerajaan Malaysia sebagai akauntan antara 1972 dan 1973 sebelum menyertai sektor swasta. Beliau bekerja dalam pelbagai kapasiti dengan Syarikat Jengka Sdn Bhd, Mansfield Berhad dan Pernas Securities Sdn Bhd masing-masing sebelum menyertai Permodalan Nasional Berhad, terlibat dalam perancangan dan pelancaran Skim Amanah Saham Nasional pada 1981.

 

Beliau menyertai Malayan Banking Berhad pada 1982 dan berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengarah Eksekutif Maybank dari 1991 hingga 1994.

 

Selepas itu, Allahyarham dilantik sebagai Gabenor kelima Bank Negara Malaysia mulai Mei 1994 hingga Ogos 1998.

 

Beliau juga merupakan Pengerusi pelbagai Lembaga. Beliau juga memegang jawatan pengarah dalam Lembaga Pengarah J.P. Morgan Chase Bank Berhad, United Malacca Berhad dan MAA Group Berhad.

 

Allahyarham merupakan graduan Summa cum Laude dalam bidang Ekonomi dan Perniagaan di Universiti Aberystwyth di United Kingdom. Beliau juga merupakan Felo Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales serta Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia. - DagangNews.com