Penghantaran tempahan Proton X50 R3 dijangka bermula pada Oktober 2023 | DagangNews Skip to main content

Penghantaran tempahan Proton X50 R3 dijangka bermula pada Oktober 2023

Gambar Facebook Proton Cars
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei - Penghantaran untuk tempahan Proton X50 R3 yang terhad kepada 200 unit kepada pelanggan dijangka bermula pada Oktober 2023, menurut pengeluar kereta nasional itu.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, model tersebut kini boleh ditempah pada pameran Malaysia Autoshow 2023 dengan hanya RM599 (RM500 untuk Proton X50 dan RM99 untuk pakej aksesori).

 

Katanya, pihaknya mengumumkan pakej aksesori R3 untuk Proton X50 di pameran tersebut yang berlangsung dari 4 hingga 7 Mei 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

 

Ujar beliau, pakej itu dilancarkan sempena ulangtahun ke-20 R3, menandakan dua dekad penglibatan Proton dalam sukan permotoran. 

 

"Konsep Pakej Aksesori Edisi Hari Ulangtahun ke-20 R3 dipersembahkan di Malaysia Autoshow pada model Flagship Proton X50 1.5 TGDi. Kereta pameran berada dalam skema warna hitam khas jenama yang akan eksklusif untuk model ini.

 

"Selain itu, pakej tersebut terdiri daripada Aerokit R3 yang direka khas (depan, tepi, belakang dan spoiler atas), Rim Aloi Ringan R3 Flow Formed 18 inci, Logo Grill Depan R3, Jalur Bonet R3, Plate Nama Luar dan Dalaman Edisi Ulangtahun ke-20 R3, Penyokong Plat Nombor Pendaftaran Kenderaan R3, dan Tikar Karpet 3D R3," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Roslan, pengumuman Pakej Aksesori Edisi Hari Ulangtahun ke-20 R3 untuk Proton X50 adalah tepat pada masanya kepada peminat tentang warisan prestasi dan permotoran Proton.

 

 

proton

 

 

proton

 

 

Beliau berkata, syarikat juga sedang merayakan 40 tahun penubuhannya pada 2023 dan pencapaian dalam dunia perlumbaan serta balapan litar yang merupakan sebahagian penting dalam sejarah mereka.

 

Katanya, Proton sedang bersedia untuk memasuki segmen Kenderaan Tenaga Baru (NEV) dengan pelancaran Proton X90 yang akan datang dan ingin menawarkan kepada pelanggan produk baharu yang menggabungkan teknologi terkini. 

 

"Pada masa sama, kami menghargai peminat dan penggemar yang telah kekal setia selama bertahun-tahun, jadi produk seperti kereta pameran R3 direka khas untuk menarik minat penggemar yang ingin memberi kesan unik pada Proton mereka," katanya. - DagangNews.com