Pengilang kedua vaksin AstraZeneca diberi kelulusan pendaftaran bersyarat - KKM | DagangNews Skip to main content

Pengilang kedua vaksin AstraZeneca diberi kelulusan pendaftaran bersyarat - KKM

vaksin AstraZeneca

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Pengilang kedua produk vaksin 'COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection' keluaran AstraZeneca, Siam Bioscience Co., Ltd, Thailand diberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana.

 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, persetujuan itu dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-358 yang bersidang hari ini.

 

"Pengilang kedua ini merupakan pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.

 

"Sebelum ini, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Netherlands pada 2 Mac 2021, yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin COVID-19 AstraZeneca ke negara-negara Eropah," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Malaysia membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX. 

 

Malaysia telah mula menerima bekalan di bawah fasiliti COVAX pada bulan April 2021. 

 

Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co., Ltd itu dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas.

 

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat  ini memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.

 

"Ia bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif," jelas beliau lagi.

 

Dalam kenyataan sama, beliau memberitahu, pihaknya akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

 

Dalam pada itu, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. - DagangNews.com