Pengukuhan modal kurangkan impak pinjaman terjejas bank | DagangNews Skip to main content

Pengukuhan modal kurangkan impak pinjaman terjejas bank


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Bank-bank di Malaysia tidak perlu menerbitkan modal ekuiti baharu sekiranya pinjaman terjejas meningkat, menurut nota kajian CGS-CIMB Research.

Di bawah simulasi makro Bank Negara Malaysia (BNM), institusi itu menjangkakan nisbah pinjaman terjejas oleh bank-bank meningkat daripada 1.6% (setakat Jun 2020) kepada 4.1% (setakat Disember 2020).

Ini seterusnya dijangka meningkat kepada 4.1% setakat Disember 2021. 

Berdasarkan jangkaan ini, nisbah modal ekuiti biasa Tier 1 (CET1) akan menurun daripada 14.6% (setakat Jun 2020) kepada 13.7% (Disember 2020) seterusnya 13.2% (Disember 2021).

Ini berbeza dengan syarat berkanun minimum sebanyak 7%.

“Berdasarkan jangkaan itu, kami berpandangan tiada keperluan untuk bank-bank menerbitkan modal ekuiti baharu disebabkan peningkatan pinjaman terjejas,” kata CGS-CIMB. 

Dalam masa sama, BNM turut menjangkakan bank-bank mampu bertahan sehingga lapan kali ganda kadar pinjaman tidak terkutip (default loan) tertinggi.

CGS-CIMB senada dengan ramalan BNM berhubung nisbah pinjaman terjejas kasar industri (GIL) akan meningkat pada suku keempat 2020 dan 2021.

Bagaimanapun, peruntukan kerugian pinjaman (LLP) atau pinjaman tidak terkutip akan mencatatkan paras rendah menjelang tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya memandangkan bank-bank telah mendahulukan LLP. 

“Kami jangka perkara itu menjadi pemangkin kepada pemulihan pertumbuhan bersih bank-bank pada tahun 2021, kepada 14.8% yang akan menilai semula saham sektor itu, ini menyokong penarafan ‘overweight’ kami. 

“Pilihan teratas kami bagi sektor itu adalah Public Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, RHB Bank Berhad dan AMMB Holdings Berhad,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com