Pengumuman Anwar hanya 'gimik', kata Asyraf Wajdi | DagangNews Skip to main content

Pengumuman Anwar hanya 'gimik', kata Asyraf Wajdi

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Pengumuman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa dirinya mendapat sokongan penuh untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu adalah satu gimik.

Perkara itu disifatkan oleh pemimpian UMNO yang memberitahu tindakan Anwar hanyalah untuk menarik sokongan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau memberi keyakinan penuh bahawa tiada mana-mana Ahli Parlimen UMNO terbabit dengan gimik berkenaan.

"Saya tidak yakin ada mana-mana ahli parlimen UMNO terlibat. Ini hanya gimik Anwar yang pernah membuat gimik yang sama satu ketika dahulu pada 16 September 2008 waktu BN memerintah.

"Persoalannya, pertama, kenapa diumumkan ketika Tuanku Agong sedang kegeringan di Institut Jantung Negara (IJN)?

"Kedua, kenapa perlu umumkan dikala PRN Sabah sedang berlangsung dan hanya tinggal dua hari berbaki sebelum hari pengundian?," soalnya seperti dipetik Malaysiakini hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Anwar berkata beliau juga telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di IJN. - DagangNews.com