‘Pengumuman mengejut’ Anwar cetus ketidaktentuan dasar, rancangan kewangan Malaysia | DagangNews Skip to main content

‘Pengumuman mengejut’ Anwar cetus ketidaktentuan dasar, rancangan kewangan Malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Dakwaan mengejut oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mempunyai sokongan majoriti oleh Ahli Parlimen menyukarkan pelaksanaan dasar yang dirangka oleh kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) setakat ini. 

Pengumuman Anwar itu mencetuskan ketidaktentuan terhadap keupayaan kerajaan untuk mentadbir perbelanjaan fiskal sedia ada serta rancangan pemulihan jangka sederhana hingga panjang pada Oktober dan pembentangan Bajet 2021 pada 6 November depan. 

“Pelaksanaan dasar jangka pendek menjadi sukar selepas kejadian itu, sekiranya kerajaan terganggu akibat isu politik atau hentikan seketika dalam membuat dasar bagi menanganinya. 

“Pada akhirnya, pada pandangan kami, sama ada - kekal kerajaan sekarang atau kerajaan baharu ditadbir Anwar - dasar fiskal Malaysia kekal berkembang pada tahun 2020 hingga 2021,”kata laporan analisis CGS-CIMB Research hari ini. 

Jelas CGS-CIMB, persekitaran ekonomi Malaysia masih mencabar dan memerlukan sokongan kukuh daripada pangkalan pengundi menjelang pilihan raya akan datang.

“Sementara penggabungan fiskal merupakan keutamaan ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, kami fikir realiti politik kelak akan berlaku dan diperkuat dengan kenyataan Anwar yang menggambarkan keutamaan untuk menangani krisis COVID-19 dan kemeseletan ekonomi dengan segera,” tambah CGS-CIMB.

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan ramalan -4.0% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 dan defisit bajet sebanyak 6.5% daripada KDNK. 

Dalam masa sama, Bank Negara Malaysia juga dijangka menghentikan pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) selepas dikurangkan sebanyak 125 mata asas kepada 1.75%.

Bagaimanapun, sekiranya ketidaktentuan politik menyebabkan penangguhan perbelanjaan fiskal dan bukan fiskal, BNM mungkin mengkaji semula ramalan ekonomi makro dan dasar kewangan ke arah dasar yang lebih longgar dan akomodatid (dovish),” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com