Penguncupan ekonomi lebih besar - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Penguncupan ekonomi lebih besar - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Ekonomi Malaysia dijangka berdepan penguncupan yang lebih besar pada suku keempat dan keseluruhan 2020 ekoran krisis COVID-19 yang mula meletus sejak awal tahun lalu. 

 

Bagi mengekang wabak itu, kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua menguncup sehingga 17.1%, pertumbuhan terendah direkodkan sejak suku keempat 1998 pada -11.2%.

 

Walaupun, ekonomi suku ketiga menyaksikan penguncupan yang lebih kecil pada -2.7% tetapi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada Oktober lalu dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan suku berikutnya. 

 

Rata-rata penganalisis dalam nota kajian mereka juga dilihat masih berhati-hati terhadap pertumbuhan ekonomi tahun ini dengan menyemak semula unjuran KDNK apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semula 13 Januari lalu dilanjutkan sehingga 18 Februari.

 

Kerajaan ketika ini juga masih mengekalkan unjuran mereka sekitar 6.5 hingga 7.5% bagi KDNK 2021 di sebalik pelaksanaan semula PKP 2.0 dan proklamasi darurat.

 

"Kami menganggarkan KDNK akan menguncup 4% pada suku keempat, menjadikan keseluruhan pertumbuhan 2020 kepada -5.7%, berbanding unjuran awal -5%," jelas CGS-CIMB dalam nota kajian hari ini. 

 

Malah, firma penyelidikan itu juga menyemak turun KDNK 2021 kepada 5% berbanding 7.5% sebelum ini. 

 

Unjuran itu dibuat setelah mengambil kira pelaksanaan PKP 2.0 dan perubahan yang menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula tetapi di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sehingga Mac 2021.

 

"Semakan semula menurun ini juga mencerminkan tekanan pendapatan isi rumah dan pasaran buruh.

 

"Situasi ini mungkin menyaksikan BNM mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada separuh pertama 2021," katanya. 

 

Data terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan baru-baru ini menunjukkan kadar pengangguran di negara ini meningkat kepada 4.8% atau 772,900 orang pada Disember 2020.

 

Keadaan pasaran buruh pada Disember 2020 masih dipengaruhi krisis kesihatan dan kesan ekonomi telah memperlahankan momentum pemulihan pasaran buruh.

 

Nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit turut susut -0.3% kepada RM115.5 bilion pada Disember 2020.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut disebabkan oleh Perdagangan Runcit yang menguncup sebanyak 2.0% kepada RM900 juta.

 

 

bank negara malaysia
Bank Negara Malaysia akan mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2020 esok. 

 

 

Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) menjangkakan Malaysia akan merekodkan penguncupan paling besar sejak krisis ekonomi Asia pada 1998  dalam pertumbuhan KDNK sebenar bagi 2020 pada  -5.7% berbanding 4.3% tahun sebelumnya. 

 

Agensi penarafan itu menyifatkan kemerosotan ekonomi akibat wabak COVID-19 tidak lama lagi terbukti menjadi krisis paling dahsyat di dunia sejak Great Depression (sekitar 1930). 

 

"Sebagai negara ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak akan terlepas daripada tekanan krisis kesihatan dan ekonomi ini. 

 

"Semua peruntukan KDNK dijangka menurun dalam pelbagai peringkat, tetapi kami menjangkakan perbelanjaan awam berkembang 4.6% tahun ke tahun ekoran suntikan fiskal pada 2020," katanya. 

 

Menurutnya, meskipun Malaysia berupaya mengekang penularan COVID-19 pada suku kedua 2020, tetapi kadar pengangguran meningkat daripada 3.3% kepada 5.3% dalam tempoh ini. 

 

"Namun, kami menjangkakan kadar pengangguran ini akan menurun kepada 4% pada tahun ini walaupun masih kekal tinggi," katanya. 

 

MARC berkata, KDNK bagi tahun ini dijangka kembali meningkat tetapi pada kadar 5.6% memandangkan pelaksanaan PKP 2.0 tidak seketat PKP 1.0. 

 

Bagaimanapun, menurut agensi itu, krisis yang berlaku ketika ini akan mempengaruhi kecenderungan Malaysia melaksanakan pembaharuan.

 

Dengan menilai impak krisis kewangan Asia ke atas ekonomi Malaysia, MARC Menjangkakan ketidakstabilan krisis akan berlegar-legar dan memberi kesan ke atas ekonomi yang lemah.

 

"Untuk itu, kami berharap pembuat dasar akan berpandangan jauh dan mempunyai pelan tindakan jangka pendek serta membina asas trajektori yang tepat bagi pertumbuhan kukuh apabila risiko sudah tiada," katanya. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan KDNK suku keempat adalah sekitar -3.2 hingga -3.5% disebabkan pengeluaran perindustrian dan eksport yang lemah serta kadar pengangguran masih tinggi.

 

Prestasi pada suku berkenaan juga dijangka lemah berbanding suku kedua yang menguncup 2.7%, berikutan pelaksanaan semula sekatan pergerakan pada suku keempat apabila jangkitan COVID-19 semakin meningkat. 

 

"Ini menjadikan keseluruhan KDNK pada 2020 adalah sekitar -5.5% berbanding 4.3% pada tahun sebelumnya," katanya. 

 

Menurut firma itu, data jualan pengedaran yang mencatat penurunan 0.3% pada Disember berbanding 1.2% pada bulan sebelumnya menunjukkan lanjutan PKPB pada Disember telah mengehadkan pertumbuhan. 

 

Tambahan pula, katanya, PKP dilaksanakan pada suku pertama, penggunaan dijangka kekal lemah bagi permulaan tahun ini. 

 

Melangkah ke tahun 2021, prospek ekonomi domestik masih bergantung kepada pelaksanaan vaksin COVID-19 dan langkah-langkah mengekang penularan wabak ini. 

 

"Bagaimanapun, perdagangan yang bertambah baik, peningkatan aktiviti domestik, keyakinan perniagaan dan sentimen pengguna meningkat akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan ekonomi berkembang sekitar 5.2 hingga 5.9% tahun ini," katanya. 

 

Bagi RAM Ratings Services Bhd. pula, KDNK Malaysia pada suku keempat diunjur menguncup 2.8% susulan pelaksanaan PKPB.

 

"Ini menjadikan keseluruhan KDNK 2020 menguncup 5.4% setelah tiga suku berturut-turut merekodkan penguncupan," katanya. 

 

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan perlahan 0.7% pada suku pertama 2020, namun mengatasi jangkaan umum sebahagian besar penganalisis yang mengunjurkan penguncupan antara -0.2 hingga -4.2%.

 

Pertumbuhan KDNK itu juga lebih rendah berbanding suku keempat 2019 iaitu 3.6% dan ia juga terendah sejak suku ketiga 2009 ketika krisis kewangan global.

 

Agensi penarafan kredit itu berkata, penguncupan ekonomi suku keempat dijangka lebih ketara sedikit berbanding suku sebelumnya, disokong pelbagai dasar dan kebanyakan sektor beroperasi ketika PKPB. 

 

"Kami menjangkakan sektor pembuatan akan menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan berkembang 3.2%," katanya.

 

Malah, RAM Ratings turut menyemak semula unjuran KDNK tahun ini kepada 5.5% berbanding 5.8% sebelum itu memandangkan ketidaktentuan ekonomi masih berterusan sehingga suku pertama 2021 apabila PKP dilaksanakan semula pada 13 Januari lalu. - DagangNews.com