Pengunjung Resorts World Genting dijangka menurun akibat PKP | DagangNews Skip to main content

Pengunjung Resorts World Genting dijangka menurun akibat PKP

Resort World Genting (RWG)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Jumlah kehadiran pengunjung di Resort World Genting (RWG) dijangka menurun akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan enam buah negeri.

 

CGS-CIMB Research berkata, jumlah tersebut dijangka menurun meskipun mencatatkan peningkatan pada Disember 2020.

 

"Ketibaan pelawat RWG meningkat pada Disember 2020 selepas sekatan perjalanan antara negeri dihentikan (November: 15,000/hari, 3Q20: 40,000 - 60,000/hari).

 

"Bagaimanapun, dengan pelaksanaan PKP di enam negeri selama 14 hari bermula 13 hingga 26 Januari, kami jangkakan penurunan kehadiran pengunjung di RWG," jelas CGS-CIMB Research.

 

Perkara tersebut dinyatakan Naib Presiden Kanan Kumpulan Hal Ehwal Korporat & Kewangan Genting Malaysia (GENM), James Koh dan Penolong Pengurus Hal Ehwal Korporat, Audrey Ng pada Hari Korporat CGS-CIMB Malaysia, 5 Januari baru-baru ini.

 

Dalam perkembangan lain, RWG kini berada di landasan pembukaan secara berperingkat Genting SkyWorld bermula pertengahan 2021.

 

GENM memberi keyakinan bahawa jumlah perbelanjaan operasi (opex) SkyWorld mampu dikendalikan seiring dengan usaha pemasaran yang digerakkan kepada penduduk setempat.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research turut mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) RWG sebanyak 51.2% pada tahun kewangan 2021.

 

CGS-CIMB Research berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada potensi pelaksanaan PKP selama dua bulan memandangkan kes COVID-19 harian yang tinggi di Malaysia.

 

"Kami melihat ramalam keuntungan bersih tahun kewangan 2021 meningkat kepada RM275 juta, dan RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2022 apabila penularan COVID-19 reda," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com