Pengurusan kanan Genting Malaysia sukarela dipotong gaji 20%  | DagangNews Skip to main content

Pengurusan kanan Genting Malaysia sukarela dipotong gaji 20% 

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Pihak pengurusan kanan di Genting Malaysia Berhad (GenM) dilaporkan secara sukarela bersetuju gaji mereka dipotong sebanyak 20% yang berkuatkuasa sehingga Mei 2021. 

 

Langkah sama turut dikuatkuasakan ke atas beberapa pekerja yang menyaksikan pemotongan gaji pokok sebanyak 15% atau 20% berdasarkan pangkat mereka, menurut pekeliling dalaman yang dilihat oleh Bloomberg News.

 

Menurut pekeliling itu, terdapat juga pekerja yang diminta untuk mengambil cuti tanpa gaji selama sehari dalam seminggu. 

 

Keputusan itu dibuat sebagai langkah untuk mengurangkan kos ketika pandemik COVID-19 masih lagi ‘berlegar’.

 

"Kami perlu mengawal kos asas Resorts World Genting untuk memastikan kelangsungan perniagaan kami dan membantu melindungi sebanyak mungkin pekerjaan," kata Presiden, Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif GenM, Lee Choong Yan dalam pekeliling itu.

 

Ini sekali gus menyaksikan tindakan pengurangan kos kali kedua dibuat oleh kumpulan syarikat Genting sejak penularan COVID-19 yang terpaksa memotong pampasan kakitangan. 

 

Pada April 2020, GenM yang diterajui oleh Genting Berhad mengumumkan pengurangan gaji pekerja secara besar-besaran memandangkan penularan pandemik itu menjejaskan operasi kasino, pelayaran dan resortnya.

 

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Januari tahun ini ekoran kes jangkitan yang kian melonjak menyebabkan syarikat hiburan dan hospitaliti itu terpaksa menutup operasi tempatannya sekali lagi. 

 

Tambah pekeliling itu, trafik pelancong ke resort Genting Highlands, Pahang kemungkinan akan tetap lemah walaupun terdapat pengedaran vaksin baru-baru ini.

 

Baca: Pengerusi Genting jual syarikat kelab malam Zouk kepada anak 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 16 Februari lalu, GenM memberitahu perniagaannya di Genting Highlands telah dibuka semula termasuk Resorts World Awana.

 

Sementara Resorts World Kijal dan Resorts World Langkawi dijadualkan beroperasi semula pada 19 Februari.

 

Pembukaan semula operasi itu susulan kelonggaran pada sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com