Peniaga di Lembah Klang paling awal nikmati pembukaan semula ekonomi - FMBA | DagangNews Skip to main content

Peniaga di Lembah Klang paling awal nikmati pembukaan semula ekonomi - FMBA

Gambar hiasan oleh aidil maula

 

 

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Persekutuan Persatuan-persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) berkata, golongan peniaga di Lembah Klang yang akan paling cepat mendapat manfaat daripada pembukaan sektor ekonomi.

 

Pengerusi FMBA, Datuk Prof Abdul Malik Abdullah berkata, ini adalah kerana Lembah Klang  telah mencapai 50% kadar vaksinasi dan sebagai nadi ekonomi negara, menerima kesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

 

Beliau berkata, strategi vaksinasi yang menjadi kunci utama untuk membuka semula ekonomi dan pemulihan telah menjadi komponen utama kerajaan  dalam merancang pembukaan semula ekonominya.

 

Menurutnya, dengan kadar vaksinasi yang menggalakkan sekarang dengan peratus penduduknya divaksinasi sekarang, boleh dikatakan bahawa negara mampu memastikan sistem kesihatannya tetap kukuh.

 

‘’FMBA mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberikan kebenaran kepada 11 sektor ekonomi di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan dibenarkan kembali beroperasi.

 

‘’Ini adalah langkah yang telah diminta oleh semua sektor perniagaan, perusahaan, termasuk PKS dan mikro yang tidak menggunakan nilai ambang fasa-fasa sebagai petunjuk bagi melonggarkan sekatan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Abdul Malik berkata, kerajaan telah menggunakan strategi gabungan pemberian vaksinasi yang pantas dan membenarkan perniagaan dibuka tetapi dengan SOP ketat adalah langkah yang tepat.

 

 

FMBA

 

 

‘’Kita sebagai para majikan adalah komited untuk mematuhi segala SOP dan juga menyokong faedah menggalakkan vaksinasi untuk para majikan dan kakitangan kita. Usaha kerajaan untuk membuat perincian garis panduan bagi kemudahan-kemudahan yang diumumkan ini akan memudahkan perkara ini.

 

‘’Kita juga meminta kerjasama dan kefahaman pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap melalui MySejahtera,’’ kata beliau.

 

FMBA juga mengalu alukan usaha kerajaan yang memberi penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat, ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan rakyat.

 

‘’Ini adalah harapan kita untuk mengekalkan unjuran ekonomi Malaysia berkembang pada 4.6% pada 2021, kerana momentum pertumbuhan akan terbantut sementara disebabkan oleh kawalan pergerakan dan penutupan kebanyakan sektor ekonomi.

 

‘’FMBA juga berharap usaha ini adalah langkah pertama kepada pendekatan senarai negatif sektor ekonomi dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Ini akan mendorong peranan sektor swasta dan usahawan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dalam era pasca COVID-19,’’ katanya.DagangNews.com