KUALA LUMPUR 18 Mac - RHB Research menyemak semula penarafan saham Gamuda Bhd. kepada 'neutral' berbanding 'trading buy' sebelum ini dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.55 setelah menilai banyak faktor positif sejak akhir tahun lalu.
Penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim berkata, faktor itu terutamanya dipengaruhi projek di luar negara khususnya Australia dan prospek bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
Katanya, Gamuda dijangka meraih manfaat daripada projek MRT3 menerusi kerja-kerja bawah tanah di sebalik peruntukan yang lebih kecil berbanding sebelum projek itu dihentikan pada 2018.
"Spesifikasi asal MRT3 pada awal 2018 mempunyai lebih daripada 80% jajaran di bawah tanah, justeru, nilai kontrak untuk bahagian Gamuda mungkin lebih tinggi pada RM11 bilion (40% bahagian bawah tanah) atau RM21 bilionn (80% bahagian bawah tanah).
"Namun begitu, ini berpotensi menaikkan nilai kontrak semasa Gamuda sebanyak RM10.4 bilion," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Selasa mengumumkan bahawa proses tender bagi projek MRT3 dirancang bermula tahun ini melalui 5 pakej utama untuk tempoh 6 hingga 8 tahun.
Cadangan jajaran terkini bagi projek itu membabitkan lingkaran sepanjang 51 kilometer meliputi 39 kilometer di Kuala Lumpur dan 12 kilometer lagi di Selangor, yang dianggar menelan kos sebanyak RM31 bilion.
Bagaimanapun, menurut Adam kenaikan saham kumpulan seterusnya mungkin terbatas ekoran perkembangan yang tidak menentu bagi projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).
"Ini berikutan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyerahkan semula laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk pembangunan 3 pulau buatan di bawah projek PSR kepada Jabatan Alam Sekitar selewat-lewatnya awal April," jelasnya.
Oleh itu, RHB Research tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 dan TP pada RM3.55.
"Kami mengekalkan TP ini selepas mengaitkan premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 2% kepada nilai berasaskan SOP intrinsiknya, berdasarkan metodologi dalaman kami.
"Pengembalian semula kami kepada 'neutral' sebahagian besarnya atas dasar penilaian, berikutan harga sahamnya melantun semula baru-baru ini," jelasnya.
Setakat 9.21 pagi ini, harga saham Gamuda susut 3 sen atau 0.89% kepada RM3.35 dengan 127,200 saham diniagakan. - DagangNews.com