Peningkatan daya saing Malaysia: Tahniah, tapi jangan leka | DagangNews Skip to main content

Peningkatan daya saing Malaysia: Tahniah, tapi jangan leka

Oleh Dr Ahmad Mustaffa

SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan kerana Malaysia berada di kedudukan ke-27 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2023, naik lima tangga daripada kedudukan ke-32 pada tahun 2022.

 

Denmark berada di tangga pertama, dan di rantau ASEAN, Singapura terus mengungguli di tangga ke-4.

 

Ini merupakan peningkatan yang memberangsangkan setelah beberapa tahun kedudukan Malaysia mencatatkan penurunan. Kedudukan terbaik Malaysia adalah pada tangga ke-10 pada tahun 2010 dan pada tahun 2018, Malaysia berada pada kedudukan ke-22. Ketika era pandemik COVID-19, daya saing ekonomi Malaysia turun tujuh anak tangga dari kedudukan ke-25 pada tahun 2021 ke 32 pada tahun 2022.  

 

Malaysia adalah ekonomi yang kedua paling berdaya saing di ASEAN selepas Singapura, diikuti Thailand (30), Indonesia (34) dan Filipina (52).

 

Menurut Pusat Daya Saing Dunia (WCC) IMD, penilaian bagi ranking tahunan itu adalah berdasarkan kepada empat sektor iaitu prestasi ekonomi; kecekapan kerajaan; kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

 

Melalui laporan itu, Malaysia menunjukkan peningkatan prestasi dalam beberapa bidang utama iaitu dari segi harga di bawah sektor prestasi ekonomi, dasar percukaian di bawah sektor kecekapan kerajaan serta infrastruktur asas dan teknologi di bawah sektor infrastruktur.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Melonjak tangga ke-27 ekonomi paling kompetitif di dunia: Isyarat prestasi baik untuk Malaysia pada masa akan datang - penganalisis ekonomi

 

Ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia berada pada landasan ekonomi yang tepat dan usaha usaha yang dilakukan oleh Kerajaan terutamanya Kementerian seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) membuahkan hasil dalam memperbaiki prestasi ekonomi negara. Tahniah diucapkan kepada MITI yang merupakan “jurucakap” ekonomi negara di peringkat antarabangsa.

 

Peningkatan daya saing Malaysia juga turut diterjemah di dalam peningkatan pelaburan dalam ekonomi negara. Pada suku pertama tahun ini, MITI telah berjaya menerima RM71.4 billion pelaburan yang diluluskan. Ini adalah 60% lebih tinggi berbanding suku pertama tahun 2022.

 

Selain  itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah berjaya membawa pulang RM170 billion prospek pelaburan dalam rangka lawatan ke China. Menteri MITI, Tengku Zafrul Aziz juga mengumumkan prospek-prospek pelaburan dari Jepun RM23 billion dan RM13 billion dari Singapura.

 

Pelabur-pelabur asing bertaraf dunia seperti pemacu industri kenderaan elektrik, TESLA juga sudah sah akan masuk ke pasar Malaysia dan lihat sahajalah kepada bilangan rakyat Malaysia yang cuba merebut peluang pekerjaan dengan syarikat seperti TESLA.  

 

Semua indikator ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah kembali berada dalam radar pelabur-pelabur asing setelah kestabilan politik dikembalikan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 dan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

 

Namun demikian, pihak seperti MITI harus terus berusaha keras untuk memastikan prospek pelaburan yang dijanjikan terus direalisasikan.

 

MITI


 

Pada masa yang sama, menurut laporan yang sama oleh IMD,  terdapat beberapa bidang yang kurang menyerlah di Malaysia seperti perundangan perniagaan dan rangka kerja kemasyarakatan di bawah sektor kecekapan kerajaan serta produktiviti dan kecekapan di bawah sektor kecekapan perniagaan.

 

Laporan itu menambah, cabaran yang dihadapi Malaysia pada 2023 adalah untuk memperkukuhkan pembangunan bakat melalui model pasaran buruh didorong permintaan bagi memastikan tenaga kerja tersedia untuk industri.

 

Selain itu, cabaran lain adalah mengubah pemikiran dalam mengutamakan digital dan meningkatkan teknologi digital merentasi pelbagai sektor. Malah, peningkatan produktiviti dan daya saing melalui pembaharuan kawal selia untuk kemudahan menjalankan perniagaan di peringkat nasional dan sub nasional turutb menjadi cabaran selain meningkatkan pembangunan lestari alam sekitar untuk kualiti hidup yang lebih baik.

 

Malaysia perlu lebih agresif mengubah struktur ekonomi dan mengutamakan pendigitalan dalam ekonomi untuk terus berdaya saing. Kerajaan perlu memastikan hala tuju ekonomi negara jelas supaya keyakinan pelabur dapat terus digarap.

 

Pengiktirafan kenaikan kedudukan daya saing ini telah membuktikan momentum sudah berjaya dicipta oleh Kerajaan dan usaha perlu dipertingkatkan untuk memastikan ekonomi negara terus bertumbuh dengan sihat dan peluang  terus dihasilkan terutamanya untuk golongan PKS dan belia. - DagangNews.com

 

 

Dr Hj Ahmad Mustaffa menulis dari Bangi