Peningkatan hasil negara bukti kecekapan PM Ismail Sabri kemudi pemulihan ekonomi – Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Peningkatan hasil negara bukti kecekapan PM Ismail Sabri kemudi pemulihan ekonomi – Penganalisis


Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 DisPeningkatan hasil negara membuktikan bahawa Malaysia yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mengatur strategi mampan dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

 

Ini mendorong Remisier, Maybank Investment Bank, Jeffry Azizi Jaafar menaruh keyakinan kadar pemulihan ekonomi bergerak positif pada suku ke empat tahun ini.

 

“Ia akan berterusan dalam keadaan positif sehingga tahun 2022 dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang antara 5% hingga 6%.

 

''Ini berdasarkan jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada kadar 6%,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Jeffry Azizi berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa kutipan hasil kerajaan Persekutuan mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9% kepada RM210.4 bilion manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9% kepada RM307.6 bilion sehingga November 2021.

 

Ismail Sabri yang mempengerusikan Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) pada Isnin berkata, semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5% daripada KDNK akan dapat dicapai.

 

Perdana Menteri berkata Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini.

 

Menurutnya, berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6% daripada KDNK.


 

Jeffry Azizi Jaafar
                              Jeffry Azizi Jaafar

 


Jeffry Azizi berkata, peningkatan hasil juga membuktikan negara berada dalam landasan tepat memulihkan ekonomi seperti sebelum pandemik COVID-19 ini.

 

Katanya, dengan pembukaan semula sektor ekonomi seperti pelancongan domestic dan luar negara menjadi pemangkin pada pemulihan ekonomi.

 

Menurut beliau, inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat dan peniaga dalam situasi COVID-19 merupakan langkah tepat.

 

Ini dengan memperkenalkan bantuan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan Bantuan Semarak Niaga.

 

Jeffry Azizi berkata: “Kadar defisit yang terkawal sekitar 6.5% daripada KDNK negara juga membuktikan kerajaan berusaha untuk mengeluarkan dana bagi merancakkan ekonomi negara.”

 

“Ini bertepatan dengan strategi fiskal mengembang dalam ekonomi,” ujar beliau. — DagangNews.com