Peningkatan kes COVID-19 'malapkan' harapan pemulihan 7-Eleven | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kes COVID-19 'malapkan' harapan pemulihan 7-Eleven

7-Eleven

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 April - Peningkatan kes COVID-19 dalam negara baru-baru ini mampu merencatkan harapan pemulihan jumlah pengunjung kedai 7-Eleven Malaysia Holdings (SEM).

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara itu secara tidak langsung turut mengganggu prestasi jualan dalam jangka masa pendek.

 

"Meskipun jumlah pengunjung di kedai SEM kawasan pinggir bandar kekal stabil, kami berpendapat bahawa kebimbangan berkaitan COVID-19 memberi kesan kepada jumlah kunjungan orang ramai ke kedai di kawasan membangun dan komersial.

 

"Oleh itu, disebalik pandangan pemulihan pendapatan bagi suku pertama 2021 berbanding suku lalu, jualan pada suku kedua tahun kewangan 2021 berkemungkinan menjadi lemah akibat peningkatan kes COVID-19 seiring dengan bulan puasa," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB Research memberitahu, SEM tetap memberi fokus kepada produk campuran dan mengoptimumkan kos asasnya.

 

Perkara itu terbukti pada tahun kewangan 2020 apabila margin keuntungan selepas cukai (PAT) segmen kedai runcit kekal stabil pada kadar 2.3%, sama seperti tahun kewangan 2019.

 

Mengulas berkaitan pembukaan dua buah lagi cawangan SEM pada tahun kewangan 2020, CGS-CIMB Research berkata, penambahan tersebut menggambarkan usaha syarikat berkenaan untuk meneruskan sasaran pembukaan sebanyak 100 hingga 150 buah kedai setahun.

 

"Prospek pertumbuhan bagi Caring Pharmacy juga kekal kukuh dengan sasaran pembukaan sebanyak 15 cawangan setahun (144 cawangan pada akhir tahun kewangan 2020).

 

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan pengembangan kedai dan pemulihan jumlah kehadiran pengunjung akan memacu ramalan pertumbuhan keuntungan bersih kami sebanyak 5.1% pada tahun kewangan 2021," tambah CGS-CIMB Research.

 

CGS-CIMB Research mengambil pendekatan mengekalkan saranan 'tambah' saham SEM dengan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM1.87. - DagangNews.com