Peningkatan kes COVID-19 masih mempengaruhi harga minyak global | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kes COVID-19 masih mempengaruhi harga minyak global

 

 


TOKYO 27 Okt. - Harga minyak kembali stabil pada Selasa selepas mengalami kerugian pada sesi sebelumnya dan minggu lalu, memandangkan kes COVID-19 kembali melonjak sekali gus menjejaskan prospek permintaan minyak mentah yang turut terkesan dengan peningkatan bekalan. 

Menurut Reuters, prospek suram masih membelenggu keadaan pasaran dan menekan harga minyak mentah dalam beberapa hari akan datang. 

Dalam dagangan awal Asia, harga Brent naik 12 sen kepada AS$40.58 setong pada 0039 GMT, selepas semalaman jatuh lebih 3%. 

Minyak mentah AS pula naik 13 sen kepada AS$38.69 setong selepas susut lebih 3% pada Isnin. 

Perjanjian pakej rangsangan AS yang belum menunjukkan sebarang perkembangan turut menambah ketidaktentuan dalam pasaran walaupun Speaker AS, Nancy Pelosi semalam berharap untuk mencapai kata putus dengan White House sebelum pilihan raya 3 November ini. 

Gelombang jangkitan virus itu yang terus menular di AS, Rusia, Perancis dan kebanyakan negara lain semakin melemahkan prospek ekonomi global dengan jumlah kes baharu semakin meningkat hingga memaksa beberapa negara melaksanakan semula sekatan.  

Pengarah Niaga Hadapan di Mizuho Securities, Bob Yawger berkata, pasaran kini berada dalam tekanan memandangkan pakej rangsangan juga belum diketahui di samping peningkatan mendadak kes COVID-19. 

"Selain itu, peningkatan pengeluaran minyak yang tidak disangka-sangka di Libya turut mempengaruhi pasaran," katanya. 

Pada masa sama, pengeluaran minyak AS yang dihentikan disebabkan taufan di Teluk Mexico secara tidak langung turut memberi sokongan kepada harga minyak mentah.  

Semalam, Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman menyifatkan perkara buruk sudah berakhir dalam pasaran minyak. 

Tetapi ia bertentangan dengan kenyataan setiausaha agung Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bahawa pasaran minyak akan mengambil masa yang panjang untuk kembali pulih memandangkan jangkitan COVID-19 masih meningkat di seluruh dunia. 

Pengeluaran minyak di Libya dijangka mencecah 1 juta setong setiap hari (bdp) dalam beberapa minggu akan datang, lebih cepat berbanding jangkaan kebanyakan penganalisis sebelum ini. 

Pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) termasuk Rusia merancang untuk meningkatkan pengeluaran minyak kepada 2 juta bpd pada awal 2021 selepas mengurangkan pengeluaran awal tahun ini. - DagangNews.com