Penjana Kerjaya Merdeka 2020 tawar lebih 4,000 kerja kosong  | DagangNews Skip to main content

Penjana Kerjaya Merdeka 2020 tawar lebih 4,000 kerja kosong 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos -  Lebih daripada 4,000 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 85 buah syarikat yang telah mengesahkan penyertaan dalam Program Minggu Karnival Penjana Kerjaya Merdeka 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beberapa Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara turut mengambil bahagian dalam program berkenaan yang kini sedang berlangsung sehingga 29 Ogos 2020. 

“Pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang minggu karnival ini termasuk temuduga terbuka khas untuk semua golongan pencari kerja di negara ini. 

 

Datuk Seri M Saravanan
M. Saravanan

 

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) berharap usaha murni dalam menyediakan perkhidmatan pekerjaan di bulan Kemerdekaan ini akan dapat membantu golongan pencari kerja memperoleh pekerjaan dan seterusnya, mengurangkan kadar pengangguran negara. 

“KSM juga ingin mengingatkan para pengunjung supaya mematuhi SOP perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dilaksanakan di setiap lokasi karnival berlangsung,” kata Saravanan menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Anjuran program berkenaan adalah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun ini. 

Program itu juga selari dengan inisiatif kerajaan bagi memastikan semua pencari kerja yang terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk mendapat pekerjaan lain.

Hubungi 03-8091 5300 atau layari laman Facebook Eis Perkeso untuk mengetahui maklumat program berkenaan. - DagangNews.com