Penjelasan PM redakan sedikit KLCI pagi ini, saham DNeX, SBCCorp, Matang paling aktif | DagangNews Skip to main content

Penjelasan PM redakan sedikit KLCI pagi ini, saham DNeX, SBCCorp, Matang paling aktif

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengesahkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti kembali meredakan sedikit pasaran ekuiti di Bursa Malaysia. 

 

Indeks utama, FBM KLCI berjaya dibuka tinggi sedikit pada dagangan pagi ini, menokok 2.32 mata daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,491.33. 

 

FBM KLCI terus menyambung lonjakan itu setelah tiga minit didagangkan kepada 1,497.90, terutamanya diheret naik oleh sektor tenaga, pengangkutan, perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan. 

 

Baca : Muhyiddin kekal Perdana Menteri, akan adakan undi percaya di Parlimen bulan depan

 

Saham Dagang Nexchange Berhad berjaya merampas kedudukan paling rancak diniagakan, dengan harga sahamnya melonjak 1 sen kepada 76.5 sen. 

 

Semalam, kumpulan mengumumkan bahawa anak syarikatnya, SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian pembelian dan pembekalan wafer dengan ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd. bernilai AS$400 juta.

 

ChipOne adalah peneraju litar bersepadu, kawalan sesentuh dan pereka bentuk litar bersepadu pengesan cap jari yang berpangkalan di Beijing, China. 

 

Baca : DNeX : SilTerra tandatangani perjanjian AS$400 juta dengan ChipOne

 

Turut rancak diniagakan adalah saham SBC Corporation Berhad yang berjaya menokok 10.5 sen kepada 61.5 sen. 

 

Impak positif itu turut dirasai oleh saham Matang Berhad dengan harga sahamnya melonjak 0.05 sen kepada 0.95 sen setakat 9.04 pagi. 

 

Beralih kepada kaunter untung, Sam Engineering & Equipment (M) Berhad berjaya mencatatkan lonjakan tertinggi dalam dagangan awal pagi ini, sebanyak 36 sen kepada RM10.96. 

 

Sementara saham Hong Leong Bank Berhad menyaksikan lonjakan kedua terbesar sebanyak 22 sen kepada RM18.40 setakat 9.19 pagi. 

 

Ini diikuti oleh KESM Industries Berhad, Fraser & Neave Holdings Berhad, SBC Corporation dan Unisem (M) Berhad.

 

Saham Tenaga Nasional Berhad, Apollo Food Holdings Berhad, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad dan Cheetah Holdings Berhad sebaliknya memulakan dagangan di kaunter rugi.

 

Menurut Rakuten Trade Research, terdapat langkah untuk membataskan kesan negatif ke atas pasaran tempatan daripada sokongan pembelian oleh institusi tempatan.

 

Namun, jelas firma itu, jajaran dagangan di FBM KLCI yang melebar menunjukkan terdapat ketidaktentuan yang memuncak. 

 

“Walau bagaimanapun, kerana kedua-dua landskap politik dan COVID-19 masih membimbangkan, penjualan dari dana asing dijangka terus berlanjutan sehingga indeks ini akan mengalami beberapa tekanan hari ini dan dijangka berlegar di sekitar julat 1,485 hingga 1,495,” jelas Rakuten Trade. - DagangNews.com