Penjualan ekuiti asing Malaysia tertinggi di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Penjualan ekuiti asing Malaysia tertinggi di Asia Tenggara

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Antara semua pasaran Asia Tenggara yang sedang membangun di bawah liputan MIDF Research -Thailand, Indonesia dan Filipina, menyaksikan aliran masuk dana asing kecuali Malaysia, pada minggu lalu. 

Thailand mencatatkan aliran masuk asing tertinggi pada lima hari berturut-turut pada minggu lalu, mencecah RM1,021.25 juta. 

Malaysia pula menyaksikan penjualan ekuiti asing tertinggi pada kadar -RM246.32 juta bagi tempoh sama. 

“Jangkaan aliran dana asing yang positif berdasarkan pengembangan bajet tidak menjadi memandangkan momentum penjualan pada hari Selasa mengatasi aliran masuk pada Khamis dan Jumaat lalu. 

“Memandangkan pasaran dibuka semula pada Isnin minggu lepas, pelabur asing telah membeli sebanyak RM3.53 juta ekuiti bersih dengan institusi runcit dan tempatan menjadi pembeli dan penjual bersih masing-masing pada kadar RM39.52 juta dan RM43.05 juta,” kata MIDF dalam laporan ekuiti mingguan.

Bagaimanapun, kata MIDF, situasi itu berbalik pada pertengahan minggu lalu memandangkan aliran keluar tertinggi pada Selasa minggu lepas  telah menetapkan aliran kumulatif kepada -RM332.97 juta dan diteruskan pada Rabu iaitu -RM7.49 juta. 

Setakat ini pada tahun 2020, pelabur asing telah menjual sebanyak -RM23.13 bilion ekuiti Malaysia di Bursa Malaysia. 

Sementara itu, pelabur runcit telah membeli sebanyak RM129.08 juta ekuiti pada minggu lalu, manakala institusi tempatan pula membeli sebanyak RM117.24 juta pada tempoh sama. 

“Pelabur runcit sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia terus mencatatkan nilai tertinggi memasuki minggu kelima sejak awal November dengan satu lonjakan semula daripada dua minggu lalu kerana mereka lebih berhati-hati.

“Kami menjangkakan momentum pembelian oleh pelabur asing akan berterusan pada minggu hadapan didorong perkembangan positif penemuan vaksin COVID-19,” tambah MIDF. 

Pelabur runcit mencatatkan pembelian sebanyak RM11.82 bilion, manakala pelabur institusi pula mencatatkan nilai pembelian RM10.94 bilion setakat ini pada tahun 2020.

Di peringkat pasaran Asia, India mencatatkan aliran masuk ekuiti asing tertinggi iaitu AS$3.08 bilion diikuti oleh Korea Selatan (AS$2.0 bilion)- DagangNews.com