Penubuhan JS-SEZ dijangka jadi rangsangan utama kepada pelaburan di Johor - Maybank Research | DagangNews Skip to main content

Penubuhan JS-SEZ dijangka jadi rangsangan utama kepada pelaburan di Johor - Maybank Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Maybank Research Pte Ltd meramalkan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menjadi rangsangan besar kepada pelaburan di negeri di selatan Malaysia itu.

 

Katanya, zon khas itu menjadikannya lebih mudah dan menarik kepada syarikat Singapura, syarikat multinasional dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melabur di Johor selain ia akan melengkapkan serta memperkemaskan daya saing pelaburan langsung asing (FDI) di negara jiran itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur akan mendapat akses kepada pusat kewangan dan infrastruktur logistik bertaraf dunia milik Singapura, serta kumpulan tenaga kerja dari Johor pada kadar yang berpatutan, tanah yang banyak selain sumber tenaga yang lebih murah.

 

"Sebagai contoh, median gaji bulanan di Johor adalah separuh daripada gaji di Singapura pada 2022 iaitu pada kadar AS$1,563 manakala purata tarif  elektrik untuk perniagaan di Johor adalah 40% lebih rendah berbanding negara republik itu.

 

"Inisiatif di bawah SEZ mungkin termasuk pengaturan cukai khas dan gudang dengan bon dan mungkin juga terdapat langkah khas bagi membolehkan pergerakan lebih bebas dalam kalangan profesional, pengurus, eksekutif serta juruteknik bagi menyokong pelaburan serta operasi perniagaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) penubuhan JS-SEZ antara Singapura dan Malaysia dimeterai pada 11 Januari 2024dan butiran komprehensif SEZ akan didedahkan selepas perjanjian lengkap ditandatangani yang dijangka berlaku Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 pada akhir tahun ini.

 

iskandar
Iskandar Malaysia

 

SEZ bertujuan mengukuhkan ketersambungan ekonomi dengan memudahkan pergerakan orang ramai, pelaburan dan barangan merentasi sempadan Malaysia-Singapura, serta mengukuhkan ekosistem perniagaan untuk menyokong pelaburan.

 

Malaysia berharap dapat menarik sembilan sektor ke SEZ, termasuk logistik, tenaga, pembuatan, pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan dan ekonomi digital

 

Kerajaan negeri Johor mencadangkan agar zon khas itu ditempatkan di Iskandar Malaysia, koridor pertumbuhan ekonomi yang meliputi kawasan seluas 2,217 km persegi merentasi selatan Johor, tiga kali ganda saiz Singapura.

 

Kawasan itu termasuk Johor Bahru, Pasir Gudang, Iskandar Puteri, Kulaijaya, Sedenak dan sebahagian bandar Pontian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kemungkinan terdapat pelbagai insentif pelaburan seperti kebiasaan yang terdapat di dalam zon pelaburan termasuk  geran, subsidi atau bantuan kewangan untuk pelaburan modal, penyelidikan dan pembangunan atau program latihan.

 

Katanya, pengecualian duti kastam, pengecualian permit import dan prosedur pelesenan yang dipermudahkan boleh disediakan untuk membantu memudahkan perdagangan.

 

"Perniagaan yang beroperasi di SEZ biasanya menikmati akses kepada infrastruktur yang lebih baik, seperti rangkaian pengangkutan, kemudahan logistik dan telekomunikasi.

 

"Mereka juga akan mempunyai akses yang lebih baik kepada rangkaian pembekal dan pelanggan, memandangkan penggabungan perniagaan huluan dan hiliran dalam zon tersebut," katanya. - DagangNews.com