Penumpang susut 89%, perkhidmatan ERL dihentikan sementara | DagangNews Skip to main content

Penumpang susut 89%, perkhidmatan ERL dihentikan sementara

ERL

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - Pengendali perkhidmatan kereta api KLIA Ekspres dan KLIA Transit, Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) menghentikan sementara kesemua perkhidmatan relnya bermula Jumaat ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

 

ERL berkata, ia susulan daripada pelaksanaan 'lockdown' secara menyuluruh atau PKP 30 di seluruh negara sekali gus menjejaskan jumlah penumpang.

 

"Lebih dari setahun selepas awal kemunculan wabak COVID-19, penumpang dilihat semakin berkurangan selain tiadanya pelancong udara yang menggunakan perkhidmatan kereta api.

 

"Rata-rata penumpang harian ERL menurun sebanyak 69% pada 2020 berbanding tahap sebelum COVID-19 pada 2019.

 

"Pada permulaan 'lockdown' pada 1 Jun 2021, rata-rata penumpang harian merosot 89% lagi berbanding 2020 (atau susut 97% berbanding 2019)," jelas ERL dalam satu kenyataan.

 

Keputusan untuk meghentikan sementara perkhidmatan rel ERL itu dibuat setelah melakukan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

 

Tambah ERL, keputusan tersebut terpaksa dibuat bagi memastikan perkhidmatannya dapat terus diberikan kepada pelanggan apabila tamatnya tempoh PKP selain bertahan dalam aspek kewangan.

 

"ERL ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan atas sokongan dan memahami keputusan yang sukar ini," tambah ERL. - DagangNews.com