Penurunan harga bahan mentah dijangka tingkatkan margin keuntungan Lee Swee Kiat pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Penurunan harga bahan mentah dijangka tingkatkan margin keuntungan Lee Swee Kiat pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Okt - CGS-CIMB Research neutral dengan prospek Lee Swee Kiat Group Bhd. (LSK) memandangkan jualan tempatan yang kukuh dijangka mengimbangi kelemahan semasa bagi eksport.

 

Dalam taklimat dengan penganalisis minggu lalu, firma itu berkata, LSK mendapati permintaan eksport lebih lemah itu disebabkan kemampuan pengguna yang lebih rendah (harga jualan yang lebih tinggi datang daripada kenaikan harga pengangkutan serta kos input) dan corak perbelanjaan pengguna yang lemah.

 

Malah, katanya, ia juga berpandangan bahawa kelemahan ringgit dan kadar pengangkutan yang lebih rendah boleh meningkatkan daya saing jualan eksportnya.

 

"Pada masa sama, kumpulan merancang untuk meningkatkan aktiviti pemasaran, dengan menyertai lebih banyak pameran perdagangan luar negara untuk menggalakkan eksport," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

LSK menaikkan harga jualan pada separuh pertama 2022, terutamanya untuk memindahkan kos operasi yang lebih tinggi (seperti buruh dan gas asli) serta peningkatan dalam kos input.

 

Buat masa ini, harga jualan yang lebih tinggi tidak menjejaskan jualan tempatannya secara negatif.

 

Menurut CGS-CIMB, LSK juga tidak menaikkan harga jualan pada suku ketiga memandangkan harga bahan mentah (terutamanya latex asli, merangkumi 40% kepada jumlah kos pengeluarannya) telah menurun (dianggarkan 10% hingga 15% lebih rendah bagi suku ke suku).

 

"Kumpulan menjangkakan harga bahan mentah yang lebih rendah akan meningkatkan margin keuntungan berasaskan suku ke suku pada suku ketiga ini," katanya.

 

Dalam pada itu, firma itu berkata, LSK menjangkakan kerjasama dengan Cuckoo akan menyumbang lebih banyak hasil jualan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) didorong lebih banyak aktiviti pemasaran dan pelancaran produk baharu.

 

Mengambil kira semua faktor ini, ia mengekalkan saranan 'tambah' terhadap LSK dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.25 sesaham. - DagangNews.com