Penurunan harga jalur lebar tidak jejaskan pendapatan Telekom Malaysia, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Penurunan harga jalur lebar tidak jejaskan pendapatan Telekom Malaysia, kata CGS-CIMB

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Okt - Harga jalur lebar runcit baharu Telekom Malaysia (TM) yang menyaksikan kelajuan dipertingkatkan secara percuma selama enam bulan, mampu melindungi purata pendapatan bagi setiap pengguna (ARPU) bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 iaitu RM129 dan RM126, kata CGS-CIMB.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun harga baharu jalur lebar itu di bawah jangkaan, ARPU bagi TM akan berlegar dalam unjuran, dengan ARPU FY2025F pada tahap RM125.

 

"Kami percaya sebarang risiko penurunan ini akan dikurangkan oleh potensi peningkatan dalam bilangan pelanggan.

 

"Peningkatan kelajuan percuma adalah penting, pada pandangan kami, kerana ia membolehkan pelanggan menikmati kelajuan lebih pantas, yang berpotensi memudahkan mereka untuk mempertimbangkan peningkatan selepas tamat tempoh peningkatan percuma," kata firma itu dalam nota hari ini.

 

Mengambil contoh Singapura, CGD-CIMB berkata, pengalaman negara itu menunjukkan ARPU jalur lebar gentian boleh bertahan dan juga meningkat jika pengguna melihat utiliti produk berkelajuan tinggi itu.

 

"Kami juga ambil perhatian bahawa walaupun penurunan 56% dalam harga runcit pelan paling biasa pada 2018, iaitu 30Mbps dengan kandungan dan talian telefon, kepada RM79/bulan (jalur lebar sahaja), ARPU Unifi menurun sebanyak 26% lebih ringan pada 2018-2020 kepada RM149/sebulan.

 

"Bagi pemilik aset seperti Telekom Malaysia, kos kelajuan yang lebih tinggi adalah meningkat kerana elemen kos utama adalah bersifat tetap, iaitu kos pemasangan infrastruktur fizikal," ujar firma itu.

 

Pada 4 Oktober, TM mengumumkan titik harga yang lebih rendah untuk produk jalur lebar tulen 100/300/500Mbps (tanpa tambahan kandungan) sebanyak 23%/ 7%/ 24% kepada RM99/ RM139/ RM159.

 

● Pelanggan sedia ada pada pelan 30/100/300/500/800Mbps akan menerima peningkatan kelajuan percuma selama enam bulan kepada 100/300/500/800Mbps.

● Pelanggan dalam kontrak dibenarkan menurunkan taraf pelan mereka tanpa penalti.

 

CGS-CIMB berkata, sebagai perbandingan, ARPU pada 2Q23 ialah RM130/bulan, dengan pakej yang paling biasa, pada pandangan firma itu ialah pelan 100Mbps.

 

Dalam konteks ini, CGS-CIMB mengulangi saranan `tambah' untuk saham TM, dengan harga sasaran RM6.80.

 

"Kami melihat dengan terhapusnya ketidakpastian ke atas titik harga jalur lebar gentian runcit sebagai pemangkin penarafan semula yang berpotensi untuk TM.

 

"Ini kerana kami percaya pelabur telah bersedia untuk kes terburuk yang serupa pada 2018, apabila mata harga menyaksikan pengurangan yang lebih besar.

 

Daripada segi risiko, kata firma itu lagi, ialah pemotongan harga yang lebih rendah oleh pesaing yang mengakibatkan ARPU yang lebih rendah. - DagangNews.com