Penurunan harga komoditi, Kenanga Research jangka Nestle tidak akan naikkan harga jualan | DagangNews Skip to main content

Penurunan harga komoditi, Kenanga Research jangka Nestle tidak akan naikkan harga jualan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Kenanga Research menjangkakan Nestle Malaysia Berhad tidak akan menaikkan harga jualan produk keluaran mereka dalam tempoh terdekat didorong penurunan harga komoditi.

 

Katanya, kumpulan itu juga memberi gambaran bahawa margin keuntungan mereka berada dalam keadaan stabil sekiranya tidak bertambah baik pada 2HFY23.

 

Bagaimanapun, katanya, mereka akan terus memberi fokus kepada harga komoditi memandangkan ketegangan geopolitik yang meningkat serta kesan El Nino yang kuat.

 

"Nestle mengekalkan pandangannya bahawa penggunaan domestik akan kekal teguh berdasarkan asas-asas yang stabil dan inisiatif kerajaan yang berterusan.

 

"Sementara itu, terdapat kelemahan dalam jualan eksport berikutan inflasi yang tinggi. 

 

"Bagaimanapun, jualan eksport sepatutnya bertambah baik pada 2024 dengan dengan andaian inflasi beransur-ansur berkurangan ditambah dengan pengenalan pelbagai produk baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu akan lebih agresif dalam mengeluarkan produk baharu sehingga 3QFY23 selepas baru-baru ini melancarkan Nescafe Coffee Kedah, Nestle Kit Kat Pink Ice Cream, Nestle Kit Kat Wafer, Maggi Mi Goreng Warisan Laksa dan Maggi Pedas Giler Cheezy Berapi.

 

Katanya, produk baharu itu telah mendapat sambutan pasaran kerana ia menarik minat kerana diperbuat daripada bahan-bahan tempatan dan ia juga mempunyai margin yang lebih baik. 

 

Firma itu berkata, produk berasaskan tumbuhannya lambat mendapat daya tarikan.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan selain kekal berhati-hati terhadap prospek kumpulan kesukaran melepaskan kos yang tinggi selain kemungkinan harga komoditii melonjak akibat pembukaan semula China dan tekanan inflasi yang mungkin membuatkan pelanggan beralih kepada alternatif yang lebih murah. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM121.18 sesaham," katanya. - DagangNews.com