Penyelesaian pelbagai cara perlu dilaksana serentak bagi hentikan pasaran gelap | DagangNews Skip to main content

Penyelesaian pelbagai cara perlu dilaksana serentak bagi hentikan pasaran gelap

 

MELBOURNE 4 Nov. – Advokasi Jenama Runcit dan Perdagangan (RTBA), sebuah organisasi antarabangsa bukan kerajaan yang menggesa perlindungan ke atas perniagaan dan jenama-jenama di seluruh rantau daripada perlakuan jenayah, hari ini melahirkan sokongan terhadap komitmen Kerajaan Malaysia untuk menamatkan dorong ekonomi gelap atau pasaran gelap di dalam pembentangan Belanjawan Persekutuan 2021.

 

Ulasan RTBA ini adalah susulan rancangan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mahu mengoptimumkan struktur cukai semasa bagi mengurangkan ketirisan.

 

Pengarah Urusan RTBA, Heath Michael berkata, RTBA sangat gembira Menteri Kewangan telah mengenengahkan secara khusus pasaran rokok seludup sebagai masalah utama untuk diselesaikan.

 

RTBA
                                                HEATH MICHAEL

 

Malaysia kini menanggung beban dengan penarafan Nombor 1 di dunia dari segi insiden-insiden rokok seludup. Ini telah mengakibatkan negara ini kerugian berbilion ringgit dari segi hasil setiap tahun; mewakili dana yang sepatutnya boleh digunakan bagi membina semula ekonomi yang terkena impak pandemik COVID-19.

 

Lebih membimbangkan, saiz dan mendalamnya pasaran rokok seludup Malaysia telah melimpah ke negara-negara seperti Australia dan New Zealand, di mana beberapa warga Malaysia baru-baru ini diberkas dan didakwa kerana berdagang rokok seludup.

 

 “Rokok seludup kini mewakili 65% daripada jumlah keseluruhan pasaran di Malaysia dan terdapat petunjuk ia akan meningkat lagi. Tidak ada negara maju atau sedang membangun di dunia ini boleh membiarkan keseluruhan sektor perniagaan dikawal sepenuhnya oleh kumpulan jenayah terancang,” ujarnya dalam kenyataan di sini.

 

“Kerajaan Malaysia melakukan perkara yang betul dengan mengisytiharkan komitmen untuk menangani segmen yang besar dan tidak henti-henti di dalam pasaran gelap ini. Walau bagaimanapun, di dalam pasaran di mana majoriti penguasaan produk adalah tidak sah, ia memerlukan langkah pelbagai serampang mata yang menyeluruh dan dilaksanakan serentak bagi mencapai kejayaan yang bermakna,” kata Michael.

 

Dalam hal ini, RTBA mencadangakn tiga penyelesaian teras bagi menangani rokok seludup secara berkesan iaitu :

 

1. Kurangkan Cukai

Kerajaan mestilah ada kesungguhan untuk mengkaji semula dan mengubah struktur cukai sedia ada untuk merapatkan jurang harga antara produk sah dengan seludup. Akhirnya nanti, jurang harga yang besar itulah yang akan mendorong penjenayah untuk meneruskan perdagangan rokok seludup. Tamatkan jurang itu dan motif untuk berdagang rokok seludup akan terhapus.

 

2. Memperkasa Agensi Penguatkuasaan

Di Australia, Pasukan Sempadan Australia (ABF) memainkan peranan penting untuk mematahkan aktiviti penyeludup dan sindiket jenayah. Pada 2015, kami menubuhkan pasukan khusus Tobacco Strike Team bagi mengumpul maklumat perisikan mengenai operasi haram dan memintas penghantaran menerusi kapal barangan haram.

Pada 2019, ABF merampas 633 tan rokok tidak sah, melonjak 46% berbanding tahun sebelumnya. Di sebalik itu, sejumlah 3.1 juta kilogram rokok, sama ada dibungkus atau lerai, diseludup masuk ke negara itu semasa tempoh yang sama.

Sementara ini adalah petunjuk nyata bahawa walaupun adalah penting memiliki pasukan petugas khusus, ia masih belum cukup untuk menangani pasaran rokok seludup. Pasukan petugas terdiri daripada pelbagai agensi diperlukan bagi memperkasa penguatkuasaan diperlukan bagi Malaysia; yang bukan sahaja menghimpunkan kepakaran dan keupayaan tetapi juga berupaya membina pasukan pro-aktif, dipacu perisikan bagi menyokong kawalan di sempadan.

 

3. Mengharamkan Pemunggahan (Transshipment)

Satu daripada faktor utama yang menyumbangkan kepada pertambahan dagangan pasaran gelap ialah pemunggahan kapal atau transshipment. Memandangkan bilangan pemunggahan dilakukan di pelbagai pelabuhan di negara ini, pegawai kastam Malaysia sering tidak mempunyai sumber-sumber atau teknologi untuk memeriksa setiap kontena yang diisytiharkan sebagai stok pemunggahan yang memasuki negara.

Pengharaman menyeluruh terhadap pemunggahan kapal dan pengenalan satu pusat kemasukan untuk sebarang pengimportan produk rokok ke Malaysia boleh memainkan peranan penting bagi mengekang rokok seludup daripada memasuki negara atau diedarkan semula ke negara lain seperti New Zealand dan Australia.

 

Mengenai Advokasi Jenama Runcit & Dagangan

RTBA merupakan gabungan perniagaan, peruncit dan pemegang tanda jenama yang berperanan melindungi industri runcit dan pembekalan di rantau Asia Pasifik daripada impak kegiatan-kegiatan jenayah. Berpangkalan di Victoria, Australia, fokus RTBA ialah mengembleng, menggerakkan dan advokasi untuk perubahan berkesan di dalam isu-isu perundangan, kewangan dan percukaian yang menjejaskan rantaian pembekalan.

Hari ini, RTBA berterusan memainkan peranan aktif di dalam usaha-usaha meningkatkan keselamatan produk dan menambah denda-denda terhadap penjenayah yang terlibat di dalam operasi pasaran gelap; menghapuskan aktiviti haram termasuk pemalsuan, cetak rompak dan perdagangan haram barangan konsumer; melindungi jenama dan hak IP para pembekal, pengilang, pemilik tanda jenama dan konsumer serta memberikan rumusan perundahan dan percukaian positif kepada semua pihak berwenang di dalam rantaian perdagangan dan pembekalan runcit. Untuk maklumat tambahan mengenai RTBA, sila lawat laman web www.rtbacommerce.com   - DagangNews.com