Penyelesaian perlindungan sosial baharu diperlukan segera seimbangkan pembangunan insan - PM | DagangNews Skip to main content

Penyelesaian perlindungan sosial baharu diperlukan segera seimbangkan pembangunan insan - PM



PUTRAJAYA  23 Nov  - Penyelesaian perlindungan sosial yang baharu dan inovatif diperlukan segera untuk mengimbangi antara penyediaan jaringan keselamatan, menggalakkan daya tahan kewangan dan pembangunan modal insan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, lebih banyak usaha kerjasama oleh sektor awam dan swasta juga penting untuk membentuk sinergi yang kukuh antara organisasi keselamatan sosial, pihak berkepentingan dan penggubal dasar yang relevan.

 

“Tindak balas pantas diperlukan untuk meningkatkan komuniti, mempromosikan hak dan merapatkan jurang perlindungan sosial di negara ini terutama bagi pekerja ekonomi tidak formal, suri rumah  atau pekerja keluarga yang tidak dibayar seperti penjaga,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap melancarkan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang diadakan secara maya hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau juga menggesa penggubal dasar untuk mengiktiraf peranan perlindungan sosial dalam mempromosikan kesejahteraan sosial dengan merangka dasar berkesan yang mengambil kira suara rakyat.

 

Beliau berkata, sejak COVID-19 melanda, kerajaan dengan cepat mengetahui bahawa sistem perlindungan sosial termasuk bantuan sosial, insurans sosial dan dasar pasaran buruh boleh bertindak sebagai penstabil automatik semasa krisis serta jaringan keselamatan yang penting untuk rakyat miskin dan golongan rentan.

 

Oleh itu, Perdana Menteri berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memberi tumpuan kepada  kebajikan rakyat, perlindungan sosial dan projek berpaksikan rakyat susulan COVID-19, yang bertujuan  mencergaskan  pembangunan sosioekonomi Malaysia untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang serta asas meningkatkan kesejahteraan rakyat.


 

 Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021
Perdana Menteri berucap merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 secara maya pada 23 November 2021.

 

Beliau berkata, ia akan menjadi satu lagi batu loncatan utama bagi Malaysia untuk mendekati Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang bertujuan untuk memenuhi antara keutamaan pembangunan negara dengan mengguna pakai pendekatan seluruh negara, dengan prinsip tiada siapa akan terpinggir.

 

Ismail Sabri berkata, ini disokong lagi oleh konsep Keluarga Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini, yang berasaskan tiga nilai utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

 

“Sebagai Keluarga Malaysia, semua orang perlu bekerjasama untuk mewujudkan sistem sokongan sosial yang lebih kukuh ke arah daya tahan yang lebih luas, terutamanya bagi kumpulan miskin dan rentan. - DagangNews.com