Penyelidik UPM rangkul pingat emas ITEX 2023 menerusi penghasilan formulasi cecair baja bio | DagangNews Skip to main content

Penyelidik UPM rangkul pingat emas ITEX 2023 menerusi penghasilan formulasi cecair baja bio

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ali Tan Kee Zuan berjaya merangkul pingat emas di The International Invention, Innovation & Technology Exhibition 2023 (ITEX) menerusi penghasilan formulasi cecair baja bio yang ditambah baik. 

 

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM menghasilkan cecair baja bio yang mampu mengurangkan kadar baja kimia sehingga 60% dan ia boleh dihasilkan dalam masa yang singkat di antara 24 hingga 48 jam sahaja.

 

UPM dalam kenyataan hari ini berkata, baja bio itu telah dikaji dan terbukti mampu mempercepatkan proses pengkomposan dan penguraian bahan organik serta menghasilkan baja organik yang berkualiti tinggi. 

 

Katanya, kajian itu adalah hasil kerjasama dengan rakan industri yang berjaya meningkatkan kadar pertumbuhan dan hasil tanaman melalui pelbagai mekanisme serta boleh mempercepatkan proses kompos dan penguraian bahan organik.

 

"Selain itu, penyelidikan 'Hybrid Kelah Malaysia' oleh Dr Fadhil Syukri dari Fakulti Pertanian UPM dan 'Ekstrak Piawai Paederia Foetida (Pokok Sekentut): Ubat Potensi Untuk Diabetes Jenis 2' oleh Dr Nur Kartinee Kassim daripada Fakulti Sains turut meraih pingat emas," katanya.

 

Pengarah Putra Science Park UPM, Prof Dr Kamarul Arifin Ahmad berkata, semua pingat yang diraih adalah merupakan hasil daripada komitmen dan dedikasi yang tinggi barisan penyelidik dalam membangunkan inovasi terbaik.

 

"UPM sangat komited dalam menghasilkan dan mengkomersilkan inovasi yang dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara serta mengalu-alukan kerjasama rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan ke pasaran supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan," katanya.

 

 

upm
Dr Ali Tan Kee Zuan bersama produk formulasi cecair baja bio yang ditambah baik pada ITEX 2023 di Pusat Konvensyen KL, baru-baru ini.

 

 

Sementara itu, pingat perak dimenangi bagi kajian 'Ecosaria: Bioinsektisida Hijau' oleh Dr Norhayu Asib dari Fakulti Pertanian, 'Jalur ujian berasaskan asid nukleik (NALFA)' untuk pengesahan ayam kampung oleh Dr Noordiana Nordin dari Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan dan 'Kit Amplifikasi Pantas Khinzir/Babi' oleh Dr Nur Fadhilah Khairil Mokhtar dari Institut Penyelidikan Produk Halal.

 

 

upm
Penyelidik UPM menerima pingat emas pada penganjuran ITEX 2023 di Pusat Konvensyen KL baru-baru ini.

 

 

upm

 

 

Penganjuran ITEX 2023 memasuki tahun ke-34 penganjurannya lebih memfokuskan keupayaan penyelidik muda untuk meneroka kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di Asian Young Inventors Exhibition dan Malaysian Young Inventors Exhibition.

 

ITEX 2023 yang dianjurkan pada 11 hingga 12 Mei 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur merupakan pameran reka cipta dan inovasi berprestij antarabangsa yang diadakan secara tahunan, anjuran Malaysian Invention and Design Society dan C.I.S. Network Sdn Bhd. - DagangNews.com