Perak cadang lokasi baharu di Bota bina lapangan terbang antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Perak cadang lokasi baharu di Bota bina lapangan terbang antarabangsa

Mohamad Nizar (kanan) semasa mengadakan lawatan ke tapak cadangan lapangan terbang di Bota, Seri Iskandar bersama dengan agensi-agensi terlibat.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 28 Julai - Satu lokasi berhampiran dengan Felcra Nasaruddin di Bota dekat Sri Iskandar dicadangkan sebagai tapak lapangan terbang bertaraf antarabangsa Perak.

 

Kawasan seluas 1,618.74 hektar itu terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari tapak asal cadangan pembinaan lapangan terbang sebelumnya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, kajian lanjut berhubung cadangan tersebut akan dijalankan.

 

Menurut beliau, kerajaan negeri dan Persekutuan secara prinsipnya bersetuju terhadap cadangan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu. 

 

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh.

 

"Kajian awal projek ini akan dilaksanakan sebuah syarikat kejuruteraan infrastruktur antarabangsa dari United Kingdom, Colebrand International Limited. 

 

"Ia bagi melihat kesesuaian tapak sebelum menyerahkan hasil kajian tersebut kepada kerajaan negeri," katanya.

 

Beliau berkata selepas mendengar taklimat dan pembentangan berkaitan projek itu di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah di sini.

 

Hadir sama, Pengurus Besar Colebrand International Limited, Dr. Farid Idrus. 

 

Lokasi yang dicadangkan melibatkan sebahagian tanah milik Felcra Nasaruddin, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri dan kerajaan negeri Perak.

 

Kawasan seluas 1618.74 hektar itu terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari tapak asal cadangan pembinaan lapangan terbang sebelumnya.
Kawasan seluas 1,618.74 hektar di Felcra Nasaruddin, Bota terletak 40km dari lokasi asal tapak cadangan lapangan terbang sebelumnya.

 

Difahamkan, cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar itu dijangka memakan masa lebih lima tahun untuk dilaksanakan. 

 

Sebelum ini, Mohamad Nizar telah mengadakan lawatan ke tapak lapangan terbang di Seri Iskandar bersama dengan agensi-agensi terlibat. 

 

Antaranya Unit Pembangunan Ekonomi Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Perak Invest, Pejabat Tanah dan Daerah Perak Tengah, Majlis Daerah Perak Tengah, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya negeri.

 

Kerajaan negeri Perak sejak tahun 2017 telah merancang untuk membina sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa baharu di Seri Iskandar.

 

Ini berikutan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh mempunyai kekangan untuk dimajukan kerana lokasi dan pembangunan sekitar.

 

Bagaimana pun, perkara itu tertakluk kepada hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) Kementerian Pengangkutan yang sedang dijalankan ke atas semua 42 lapangan terbang sedia ada di seluruh negara. - DagangNews.com