Perak catat peningkatan pertumbuhan KDNK, muncul sebagai destinasi domestik teratas pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Perak catat peningkatan pertumbuhan KDNK, muncul sebagai destinasi domestik teratas pada 2023 - DOSM

Muzium Perak di Taiping, Perak - Gambar DagangNews
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Prestasi ekonomi Perak semakin kukuh pada 2023, mencapai kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 2.7% atau RM82.6 bilion.

 

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata negeri itu menyumbang 5.3% kepada KDNK negara.

 

Pada 2022 kata beliau, Perak mencantatkan RM80.4 bilion dalam KDNK.

 

"Pertumbuhan itu didorong oleh sektor perkhidmatan, yang berkembang sebanyak 3.0%, khususnya dalam subsektor berkaitan pelancongan seperti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan," katanya kata dalam satu kenyataan pada Sabtu.

 

 

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
                               Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

 

 

“Dari segi KDNK per kapita, Perak mencatatkan RM37,170 pada 2023, meningkat daripada RM37,080 tahun sebelumnya,” tambahnya.

 

Dr Mohd Uzir berkata Perak mempunyai jumlah pengunjung domestik keempat tertinggi pada 2023, dengan 17.1 juta, berbanding 14.6 juta pada 2022.

 

Katanya, antara tarikan utama pengunjung domestik ialah Pangkor, Lost World of Tambun dan Teluk Batik.

 

 

Teluk Batik
Pantai Teluk Batik di Lumut, Perak

 

 

“Perak muncul di tempat keempat sebagai negeri paling ramai dikunjungi, menerima 7.50 juta pelancong, berbanding 6.87 juta pada 2022.

 

Dr Mohd Uzir berkata Perak menerima pelaburan yang diluluskan sebanyak RM8.5 bilion pada 2023.

 

Beliau berkata ia terdiri daripada RM6.4 bilion pelaburan domestik dan RM2.1 bilion pelaburan asing.

 

"Sektor pembuatan adalah penyumbang kedua kepada ekonomi Perak. Ia menerima pelaburan RM2.7 bilion, yang terdiri daripada RM1.9 bilion pelaburan asing dan RM800 juta pelaburan domestik.

 

"Kebanjiran pelaburan ini dijangka merangsang ekonomi tempatan dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu," katanya.

 

Beliau menambah, "Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan prestasi pelaburan yang menggalakkan, pasaran buruh di Perak terus kukuh." - DagangNews.com