Perak kutip hasil RM1.21 bilion tahun lalu, perlu kekalkan momentum untuk pacu ekonomi negeri | DagangNews Skip to main content

Perak kutip hasil RM1.21 bilion tahun lalu, perlu kekalkan momentum untuk pacu ekonomi negeri

Saarani diberi penerangan tentang teknologi kenderaan elektrik semasa mengadakan lawatan ke China pada Oktober lalu.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

PERMULAAN tahun 2024 membawa khabar positif pada negeri Perak apabila berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM1.21 bilion tahun lalu iaitu merupakan angka tertinggi yang pernah direkodkan dalam sejarah negeri tersebut.

 

Angka berkenaan kira-kira 107.06 peratus lebih tinggi berbanding sasaran yang ditetapkan bagi tahun lalu.

 

Ini menyaksikan Perak merekodkan lebihan pendapatan kira-kira RM62.4 juta berbanding RM29.6 juta pada 2022.

 

Pelbagai faktor utama menyumbang kepada peningkatan itu termasuk lonjakan dalam hasil cukai.

 

Perak
Sektor perkilangan membuka peluang pekerjaan kepada warga Perak.

 

Prestasi kerajaan negeri Perak ini lebih baik berbanding jangkaan.

 

Semasa pembentangan Belanjawan Perak 2024 di sidang Dewan Undangan Negeri pada Disember lepas, kutipan hasil yang direkodkan ialah RM1.05 bilion.

 

Angka tersebut berdasarkan kutipan hasil sehingga 25 November 2023.

 

Sehubungan itu, pentadbiran kerajaan negeri optimis menutup akaun dalam kedudukan surplus seperti yang dicapai pada tahun 2022.

 

Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kadar (KDNK) dengan nilai RM50.7 bilion.

 

Perak
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) semasa hadir pada majlis menandatangani perjanjian
kolaborasi utama antara DRB-HICOM dan Geely di Tanjung Malim.

 

Ini diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, diikuti dengan subsektor penginapan, makanan dan minuman serta utiliti, pengangkutan dan teknologi maklumat (ICT).

 

Pencapaian tersebut turut didukung oleh peningkatan prestasi sektor pembinaan dan perlombongan yang mencatat pertumbuhan 6.1 dan 8.9 peratus selain sektor pembuatan sebanyak 1.0 peratus.

 

Bagi mengekalkan momentum ini, Perak perlu agresif dalam mencipta peluang dan agresif memanfaatkan kekuatan supaya mampu bersaing dalam ekosistem ekonomi yang serba kompetitif.

 

Antaranya meneroka sumber pendapatan baru yang mana ketika ini Perak menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang telah berjaya meneroka industri lantanida sebagai sumber hasil baru. 

 

Perak
Perlombongan NR-REE menyumbang pendapatan baharu kepada ekonomi negeri Perak.

 

Perak

 

Buktinya, sehingga Disember lalu Perak berjaya memperoleh pendapatan RM21.1 juta dalam tempoh 10 bulan hasil royalti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanida.

 

Jumlah ini dijangka akan terus meningkat apabila mineral tersebut perlu diekstrak di dalam negara sebelum dieksport ke luar.

 

Ini juga mewujudkan peluang pelaburan dan pekerjaan baharu dalam industri mineral terutama bagi mereka yang mempunyai pengetahuan atau kepakaran berkaitan NR-REE.

 

Projek perintis NR-REE di Mukim Kenering, Gerik di kawasan seluas 84.6 hektar itu dimulakan pada Oktober 2022 setelah memperolehi kelulusan berkaitan daripada agensi-agensi teknikal dan pihak berkuasa negeri.

 

Berdasarkan kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, anggaran deposit NR-REE di negeri itu sebanyak 1.68 juta tan dengan nilai RM46.5 bilion.

 

Perak
Saarani diberi penerangan tentang projek Silver Valley Technology Park di Kanthan, Ipoh.

 

REE adalah unsur penting kepada industri digital abad ini yang menjadi teras kepada ledakan industri 4.0. 

 

Permintaan tinggi terhadap peralatan berteraskan teknologi digital menyebabkan permintaan REE turut meningkat yang mana China merupakan pengeksport utama REE di dunia.

 

Selain hasil mineral, Perak juga sedang berusaha keras membangunkan potensi ekonomi digital selain memperkasa sektor pertanian sebagai agenda utama negeri.

 

Kadar inflasi negeri Perak pula terus merekodkan trend penurunan daripada 2.2 peratus pada Oktober lalu kepada 1.9 peratus pada November. 

 

Perak
Memacu sektor pelancongan menjadi salah satu fokus Perak pada tahun 2024.

 

Manakala kadar penembusan tenaga kerja bagi suku ketiga 2023 juga berada pada angka positif iaitu 64.8 peratus. 

 

Kadar pengangguran pula terus menurun daripada 5.3 peratus pada 2021, 4.6 peratus pada 2022 dan dalam tempoh suku ketiga 2023, kadarnya terus menurun pada angka 3.3 peratus.

 

Sebagai kesinambungan pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, Perak di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menggariskan lima fokus utama kerajaannya untuk tahun ini.

 

Antaranya meneroka sumber pendapatan baharu, memacu inovasi dalam sistem penyampaian, mengangkat kebajikan rakyat, kelestarian alam sekitar dan menjayakan Tahun Melawat Perak.

 

Kelima-lima fokus ini akan dapat sama-sama menjadi sandaran dalam mengharungi perjalanan tahun 2024 untuk Perak mencipta banyak lagi kejayaan.- DagangNews.com