Perak MB Inc. Bakal jadi pemegang saham utama GCAP? | DagangNews Skip to main content

Perak MB Inc. Bakal jadi pemegang saham utama GCAP?

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Syarikat tersenarai, G Capital Bhd (GCAP) yang baru-baru ini meneroka industri tenaga boleh diperbaharui (RE) telah menarik perhatian para pelabur, disemarakkan oleh kemungkinan Perbadanan Menteri Besar Perak atau Perak MB Inc. muncul sebagai pemegang saham utamanya.

 

Pemerhati industri menyifatkan kehadiran Perak MB Inc sebagai pemegang saham utama Gcap akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi, terutama dalam pembangunan loji hidrokuasa di negeri Perak, khususnya.

 

Perhatian itu adalah susulan pemeteraian perjanjian antara GCAP dengan Perak MB Inc pada 19 Julai lalu, terhadap cadangan pengambilalihan baki saham 40% di dalam Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd (PHREC) yang belum dimiliknya, menerusi urus niaga saham yang akan menyaksikan Perak MB Inc muncul sebagai pemegang saham utama GCAP.

 

PHREC memiliki hak eksklusif bagi membina, mengendali dan memiliki loji mini hidrokuasa di 31 tapak yang telah dikenal pasti dengan jumlah keseluruhan kapasiti sebanyak 286.1 megawatts (MW) untuk tempoh 21 tahun daripada permulaan tarikh pelaksanaan tarif di setiap tapak.

 

Sementara menanti perjanjian jualan saham dimuktamad ditandatangani di masa hadapan, Perak MB Inc tidak akan memberi kelulusan atau surat sokongan kepada mana-mana pihak ketiga tanpa kebenaran GCAP berkaitan lapan projek mini hidrokuasa berjumlah 26.5MW di sungai-sungai negeri Perak.

 

Ditubuhkan mengikut Enakmen Menteri Besar Diperbadankan 1951, teras perniagaan bagi Perak MB Inc ialah pembangunan mampan mineral, pembangunan aset berwibawa dan pembangunan inovatif sumber-sumber.

 

Kemunculan Perak MB Inc sebagai pemegang saham utama GCAP juga memberi isyarat Kerajaan Negeri Perak akan memberi tumpuan besar terhadap pembangunan tenaga hijau mapan.

 

Pengarah Eksekutif GCAP, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, minat yang ditunjukkan oleh Perak MB Inc sebagai peserta ekuiti di dalam GCAP menggambarkan keyakinan kerajaan negeri terhadap komitmen syarikat untuk membangunkan segmen RE, terutama loji-loji mini hidrokuasa di Perak. 

 

“Jika anda meninjau pembangunan yang dilakukan dalam tempoh setahun hingga dua tahun lepas, anda boleh lihat bagaimana pengurusan telah merubah kumpulan syarikat ini menjadi peneraju tempatan di dalam segen RE,” katanya kepada FocusM.


 

ali hamsa
Pengarah Eksekutif GCAP, Tan Sri Dr Ali Hamsa

 

“Kami melihat wujud potensi di dalam bidang RE seiring dengan kesedaran umum dan kerajaan yang semakin tinggi mengenai keperluan pembangunan tenaga hijau mapan di negara ini bagi mengurangkan jejak karbon,” katanya.

 

Potensi meraih perolehan berulang menerusi projek ini juga mendorong pengurusan GCAP membuat pelaburan ke dalam projek-projek ini.

 

“Ia sudah mula mendatangkan pulangan – dengan Perak MB Inc menjadi sebahagian pemegang saham utama syarikat, ia boleh meningkatkan potensi pertumbuhan kami,” kata beliau.


 

gcap

 


Kolaborasi GCAP dan Perak MB Inc juga disifatkan sinergi yang lengkap kerana pasaran utama GCAP di dalam segmen hidrokuasa ialah Perak.

 

Penghujung tahun lalu, GCAP mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) untuk membina loji kecil hidrokuasa 10MW di Sungai Perak (Salu) menerusi subsidiari 90% miliknya, Gunung Hydropower Sdn Bhd. – DagangNews.com