Perak sasar 5 juta pelancong domestik | DagangNews Skip to main content

Perak sasar 5 juta pelancong domestik

Perak

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kerajaan negeri Perak menyasarkan kehadiran lima juta pelancong domestik ke negeri tersebut bagi tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, jumlah sasaran itu ditetapkan berdasarkan jumlah tempahan hotel di sekitar Perak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami telah menerima lebih daripada 90,000 tempahan bilik di 67 buah hotel di sekitar Perak.

"Untuk tahun 2020, kami hanya meletakkan sasaran separuh daripada jumlah yang kami capai pada tahun lalu kerana pandemik COVID-19," jelasnya selepas menghadiri majlis penutup Karnival Pelancongan Semarak di Lost World Hotel Sunway seperti dipetik Malay Mail.

Statistik 2019 menyaksikan Perak berjaya menerima 10.1 juta pelancong domestik yang bermalam.

Tambah beliau lagi, kerjasama dalam kalangan pemain industri dilihat sangat penting dalam mengembangkan lagi pakej pelancongan.

Usaha tersebut sekali gus dapat menarik pelancong domestik untuk berkunjung dengan lebih kerap.

Menyentuh berkaitan peningkatan kes COVID-19, beliau memberitahu, kerajaan negeri turut berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi mengekalkan status zon hijau di negeri tersebut.

"Inilah yang dapat kami lakukajn saat ini. Itu sebabnya kami menggesa dan menekankan kepada pemain industri untuk menjalankan prosedur operasi standard (SOP).

"Kita juga perlu mendidik orang ramai yang berkunjung ke negeri ini agar mereka berperanan sebagai pelancong yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan," jelasnya lagi. - DagangNews.com