Perak sasar jualan RM1 juta produk usahawan tempatan pada Malaysia Fest 2024 di Singapura | DagangNews Skip to main content

Perak sasar jualan RM1 juta produk usahawan tempatan pada Malaysia Fest 2024 di Singapura

Penyertaan lapan usahawan negeri Perak pada Malaysia Fest 2024 dapat meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.
Oleh Zaki Salleh

SERI ISKANDAR 18 Julai - Usahawan negeri Perak menyasarkan jualan sebanyak RM1 juta pada program Malaysia Fest 2024 mulai 25 hingga 28 Julai di Pusat Konvensyen dan Pameran Ekspo Singapura.

 

Pada edisi tahun lalu Perak telah merekodkan jualan tunai berjumlah RM802,422 bagi dan RM15.2 juta untuk jualan kontrak. 

 

Berdasarkan prestasi itu, angka lebih besar yakin dicapai melibatkan penyertaan 8 usahawan terpilih.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Koperasi dan Usahawan Negeri Perak, Dato' Salbiah Mohamed berkata, penyertaan pada ekspo seumpama ini membantu meningkatkan sumbangan ekonomi secara tidak langsung kepada negeri Perak. 

 

Kapal
Salbiah (tiga dari kanan) bersama Zolkafly (tiga dari kiri) semasa majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2024 di Seri Iskandar.

 

Menurut beliau, sebagai ekspo jualan Malaysia terbesar di Singapura maka kehadiran usahawan negeri Perak penting dalam usaha meluaskan pasaran.

 

“Pada tahun ini, kerajaan negeri sekali lagi melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri menaja sebahagian kos usahawan terlibat.

 

“Kesemua usahawan ini telah mengikuti proses permohonan dan temuduga serta dipilih berdasarkan kemampuan, fokus program dan kapasiti pengeluaran,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pada majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2024 di sini.

 

Kapal

 

Kapal

 

Pelepasan telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Perak, Dato’ Zolkafly Harun.

 

Antara produk usahawan tempatan yang dipasarkan di sana ialah pes masakan dan produk siap untuk dimakan, pelbagai sambal, snek bilis dan rencah asam pedas.

 

Edisi Malaysia Fest 2023 tahun lalu berjaya menarik kehadiran kira-kira 135,000 pengunjung sepanjang 4 hari ekspo berlangsung.

 

Jelas Salbiah, Malaysia Fest 2024 menyediakan peluang kepada usahawan membina jaringan perniagaan serta mencari pengimport yang berpotensi untuk mengembangkan pasaran.

 

“Penyertaan usahawan negeri Perak di Singapura juga akan memperkukuhkan kaedah perniagaan secara pendigitalan daripada segi jualan dan promosi.

 

Kapal
Malaysia Fest merupakan ekspo jualan produk usahawan Malaysia yang terbesar di Singapura.

 

“Ini juga termasuk di bawah salah satu fokus yang telah digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu untuk meningkatkan penglibatan keusahawanan di peringkat daerah,” ujarnya.

 

Sepanjang tahun lalu kerajaan negeri melalui STeP telah menyelaraskan 5 penyertaan expo usahawan Perak pada peringkat antarabangsa.

 

Antaranya Malaysia Fest di Singapura, Selangor International Expo, Penang International Halal Expo and Conference, Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan OIC Halal Expo Istanbul. - DagangNews.com