Perak wartakan bekas kolam perlombongan sebagai perikanan bantu 110 nelayan | DagangNews Skip to main content

Perak wartakan bekas kolam perlombongan sebagai perikanan bantu 110 nelayan

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Kerajaan negeri Perak bakal mewartakan bekas kolam perlombongan sebagai perikanan bagi meningkatkan bekalan sumber ikan kepada rakyat negeri. 

Langkah yang diperkenalkan sebagai ‘Konsep Perikanan Bandar’ itu sekali gus bakal memberi manfaat kepada nelayan di sekitar kawasan berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, kertas kerja projek berkenaan akan dibawa ke mesyuarat exco kerajaan negeri untuk kelulusan dan dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Oktober depan. 

 

Datuk Abdul Yunus
Abdul Yunus Jamhari

 

“Seramai 110 nelayan darat yang merupakan ketua keluarga bagi kumpulan B40 dapat meningkatkan kadar tangkapan ikan dan projek itu dijangka meningkatkan status sosioekonomi mereka,” katanya seperti dipetik MalayMail.  

Sebanyak 110 hektar tanah di daerah Kinta dan Kampar dikenalpasti bagi tujuan berkenaan. 

Ini melibatkan Kampung Changkat Tin, Tanjung Tualang; Taman Aman, Kampar; Kampung Changkat Legong, Gopeng dan Kampung Changkat Bendera, Malim Nawar.

Tambah Abdul Yunus, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta bagi tujuan projek itu yang digunakan untuk membersihkan kolam, bekalan benih ikan, makanan ikan dan stor penyimpanan makanan.

“Tiada sebarang struktur pada kolam yang diwartakan itu. Kolam akan kekal seperti asal.

“Tujuan utama kami adalah menukarkan spesis ikan di kolam itu kepada ikan yang menerima permintaan dan bernilai tinggi seperti talapia merah, patin, jelawat serta lampam,” katanya. 

Setakat ini, terdapat 2,250 hektar kolam perlombongan di Perak dibangunkan pada tahun lalu bagi tujuan perikanan. 

Jelas Abdul Yunus, kolam itu telah menghasilkan 25,000 tan metrik ikan bernilai kira-kira RM122 juta. 

Seramai 512 nelayan darat yang menggunakan kolam itu di seluruh Perak dan menghasilkan 520 tan metrik ikan bernilai RM3.4 juta pada tahun lalu. - DagangNews.com