KUALA LUMPUR 12 Okt - Kunjungan ke ekspo pelancongan domestik 'cuti dahulu bayar kemudian’ yang julung kali diadakan di Malaysia membawa tuah kepada seorang perancang estet apabila dipilih sebagai pemenang hadiah utama peraduan media sosial Ekspo MY Travel.
Paul Aw Zhern Foh, 27, dari Kuala Lumpur membawa pulang sebuah Perodua Axia baharu yang ditawarkan sebagai hadiah utama peraduan media sosial Ekspo MY Travel yang berlangsung di Setia City Convention Centre di Shah Alam, Selangor pada 1 dan 2 Oktober 2022.
Ekspo selama dua hari yang dianjurkan oleh Skinny Fat Kids Worldwide Sdn Bhd (SFK) dan disokong oleh Tourism Malaysia dan Media Prima Audio, berjaya menarik lebih daripada 5,000 pengunjung dengan menawarkan pelbagai pilihan pakej pelancongan domestik dan kediaman di seluruh negara pada harga yang menarik.
Buat julung kali dalam industri pelancongan, pengunjung dapat menikmari kemudahan ‘cuti dahulu bayar kemudian’ apabila menggunakan aplikasi PayLater untuk membuat pembelian dengan sehingga 12 ansuran tanpa fi.
Paul berkata, dia mengetahui tentang ekspo itu melalui rakan-rakannya dan tertarik dengan konsep ‘cuti dahulu bayar kemudian’.
"Ia membolehkan anda merancang ke hadapan dan mendapatkan tawaran hebat tanpa dibebankan dengan bayaran tinggi awal-awal lagi.
"Kali ini, saya telah membeli dua baucar untuk villa premium di Lexis Hibiscus Port Dickson. Tak sangka dapat pula sebuah kereta percuma, hebatkan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Projek SFK untuk Ekspo MY Travel, Jonathan Lim berkata, ekspo itu berjaya mencapai dwi-matlamat untuk membolehkan lebih ramai warga Malaysia menikmati percutian dan menyokong industri pelancongan tempatan.
“Kami merancang menjadikan ekspo ini acara tahunan untuk memberi peluang bercuti kepada warga Malaysia yang semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan kadar pertukaran ringgit yang lemah.
"Dengan membahagikan pembayaran kepada ansuran yang lebih kecil, pengguna tidak perlu lagi menunggu. Ini selaras dengan slogan kami ‘no more nanti, time to cuti!’," katanya. - DagangNews.com