Oleh EMIR MUKMIN
editor@dagangnews.com
ALOR SETAR 30 Sept. - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan, perancangan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak pernah dibawa ke Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) apatah lagi ke kabinet oleh kerajaan negeri terdahulu.
Malah dakwanya, pihak Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kewangan sendiri tidak tahu secara terperinci mengenai projek tersebut.
"Daripada dulu, kerajaan negeri yang lama asyik 'menyanyi' mengenai KXP sejak 2013 dan 2014. Tetapi sekarang ini baru saya tahu bahawa projek itu tidak pernah dibawa masuk ke MPFN, Kabinet atau ke mana-mana sekali pun.
"Sebab itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) saya nyatakan bahawa ada pihak asyik bercakap 'memusing' di luar, tetapi tak 'masuk' pun. Setakat ini lebuh raya yang menjadi komponen KXP sudah diluluskan tetapi lapangan terbang, yakni projek utama itu sendiri belum dibawa ke MPFN," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Tambahnya sejak mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada 21 Ogos lalu, beberapa perkembangan positif telah dapat dilihat mengenai projek tersebut.
"Antaranya sebuah jawatankuasa khas antara kerajaan negeri dan pihak kementerian telah dibentuk bagi mempercepatkan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP), khusus buat KXP.
"Langkah itu diharap mempercepatkan pembinaan KXP memandangkan Kementerian Pengangkutan sebelum ini menyatakan, sebarang projek naik taraf atau pembangunan lapangan terbang baharu hanya dapat dipertimbangkan selepas kajian NASP disiapkan yang dijangka mengambil masa selama tiga tahun," katanya.
Tambahnya, hasil usaha kerajaan negeri, perancangan pembinaan KXP diyakini akan dibincangkan dalam Mesyuarat MPFN pada 27 Oktober depan bagi mendapatkan kelulusan, seterusnya diangkat ke Kabinet.
"Perkara itu turut saya bawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 September lalu.
"Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri juga bersetuju memberi kerjasama untuk melaksanakannya kerana pembinaan KXP tidak hanya akan membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah malah turut mempengaruhi pertumbuhan koridor utara," katanya. - DagangNews.com