Perang perdagangan AS-China lonjak permintaan sektor perabot tempatan | DagangNews Skip to main content

Perang perdagangan AS-China lonjak permintaan sektor perabot tempatan

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Pelencongan perdagangan (trade diversion) yang berlaku akibat ketegangan hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan melonjakkan permintaan terhadap sektor perabot tempatan.

Sehubungan itu, prospek jangka masa panjang sektor perabot di Malaysia dijangka berkembang dengan pertumbuhan permintaan beransur pulih dan kembali normal menjelang tahun depan. 

Public Investment Bank Berhad (PublicInvest) berkata, berdasarkan harga material mentah yang rendah dan kadar pertukaran asing yang memberangsangkan berpotensi meningkatkan margin keuntungan sekali gus memberi hasil yang lebih mengukuh.

“Pembuatan perabot di Malaysia menjadi pilihan utama bagi pembeli AS yang beralih dari pasaran sektor berkenaan di China ke Asia Tenggara.

“Malaysia sentiasa menjadi pengeksport perabot dan antara 15 pengeksport perabot terbesar dunia. 

“Pada 2019, Malaysia menduduki tangga ke-11 bagi pengeksport perabot terbesar dunia. Sekitar 80% pengeluaran perabot Malaysia dieksport ke AS, Jepun dan Australia, iaitu pasaran eksport utama,” jelas PublicInvest.

Ekoran pandemik COVID-19, jumlah eksport perabot Malaysia telah meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 7.6% antara 2014 hingga 2019 kepada RM11.9 bilion.

Menurut Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), eksport perabot kayu Malaysia ke AS melonjak 38% kepada RM4.7 bilion pada 2019 berbanding RM3.4 bilion pada 2018.

Sementara itu, harga kayu getah yang menjadi bahan mentah utama bagi industri perabot jatuh dan stabil sejak dilarang eksport pada tahun 2017.

Memandangkan bekalan kayu getah banyak dan harga kulit jatuh, PublicInvest menjangkakan terdapat peningkatan margin kerana kos bahan mentah yang lebih rendah.

Pengeksport pula mungkin meraih keuntungan daripada nilai ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS.

“Kami menjangkakan setiap 1% penurunan dalam ringgit, perolehan saham perabot akan meningkat sebanyak 0.8%,” tambah PublicInvest. - DagangNews.com