Perang perdagangan AS-China, tiada impak besar terhadap Malaysia | DagangNews Skip to main content

Perang perdagangan AS-China, tiada impak besar terhadap Malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Prestasi perdagangan Malaysia tidak terjejas teruk walaupun dua ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China sedang berdepan dengan perang perdagangan.

Walaupun ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara memberi kesan ke atas ekonomi global, namun kadar eksport negara ke negara-negara berkenaan menunjukkan peningkatan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kadar eksport negara ke AS meningkat 2.4% kepada RM46.15 bilion, manakala import pula mengukuh sebanyak 4.1% kepada RM34.26 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2020.  

Perdagangan Malaysia dengan negara berkenaan bagi tempoh sama turut mencatatkan peningkatan sebanyak 3.1% kepada RM80.41 bilion berbanding tahun lalu. 

“Hampir 80% eksport Malaysia ke AS melibatkan barangan elektrik, getah, optik, keperluan saintifik, produk kayu dan pembuatan lain.

"Kira-kira 76% import dari AS pula terdiri daripada produk elektrik, kimia, mesin dan peralatan, optik, keperluan saintifik dan produk keluli,” jelas MITI dalam satu kenyataan bertulis kepada pertanyaan Datuk Seri Dr .Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) berhubung sama ada perang perdagangan AS-China dan COVID-19 memberi impak ke atas import dan eksport negara. 

Sementara itu, MITI memberitahu, perdagangan Malaysia dengan China bagi tempoh sama meningkat 0.3% kepada RM149.16 bilion berbanding tahun lalu. 

Kadar eksport turut meningkat sebanyak 8.3% kepada RM69.43 bilion, yang sebahagian besarnya melibatkan barangan elektronik dan elektrik, kimia, produk petroleum, pembuatan logam dan produk lain. 

Bagaimanapun, prestasi perdagangan negara pada Januari hingga Jun 2020 menguncup disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19 dengan jumlah dagangan menurun sebanyak 7% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM833.36 bilion.

“Kadar eksport menguncup sebanyak 6.8% berbanding tahun lalu kepada RM448.99 bilion dan import menurun 7.2% kepada RM384.38 bilion, manakala lebihan perdagangan merosot 4.1% kepada RM64.61 bilion,” tambah MITI. 

Bagaimanapun, terdapat peluang perniagaan di beberapa sektor seperti eksport sarung tangan yang meningkat 40.3% berikutan permintaan tinggi dalam pasaran global disebabkan COVID-19.

Susulan peperangan perdagangan antara AS dan China selain penularan pandemik COVID-19, MITI telah mengambil beberapa langkah proaktif menerusi agensi promosi perdagangannya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi menangani kesan berkenaan ke atas Malaysia. 

Ini termasuklah penumpuan ke arah penggunaan teknologi digital untuk mengurangkan kos promosi eksport supaya syarikat pengeksport negara kekal berdaya saing. - DagangNews.com